Rabu, 30 Januari 2013

Pakatan Rakyat perinci manifesto p’raya berasas Buku Jingga

Oleh Norutul Ilham

KUALA LUMPUR: Pakatan Rakyat menawarkan manifesto pilihan raya berasaskan dasar Buku Jingga untuk menawan Putrajaya.

Timbalan Setiausaha Agung KEADILAN, T Kumar berkata, manifesto itu akan diperinci bagi mendekatkan tawaran kepada rakyat, namun tiada perubahan membabitkan dasar Buku Jingga.

“Buku Jingga diterima ketiga-tiga komponen parti. Setakat ini tiada perubahan akan dibuat, mungkin ada perincian.

“Berhubung tawaran-tawaran yang dibuat setakat ini, kita akan masukkan dalam manifesto. Buku Jingga adalah dasar kita (Pakatan), untuk dijadikan asas bagi menentukan manifesto,” jelasnya ketika dihubungi.

Mengulas lanjut, Kumar berkata, beberapa tawaran Pakatan yang terbaru antaranya melibatkan ketenteraan dan isu anak muda sebagai kayu ukur untuk menghasilkan manifesto.

“KEADILAN, PAS dan DAP sepakat untuk memperincikan manifesto sementara menunggu pilihan raya semakin hampir.

“Jentera parti juga akan menggunakan risalah Buku Jingga turun berkempen untuk menerangkan kepada rakyat mengenai tawaran Pakatan demi hala tuju memenangi PRU 13,” ujar Kumar.



Buku Jingga merupakan satu dokumen bersama Pakatan Rakyat yang diperkenalkan pada Konvensyen kedua Pakatan Rakyat di Pulau Pinang 2010.

Ia bagi menangani krisis ekonomi, kerosakan institusi negara, ketegangan masyarakat berbilang kaum, bebanan rakyat, hak rakyat yang dinodai dan gejala rasuah yang berleluasa.

Buku Jingga turut menggariskan agenda 100 hari pertama pentadbiran Pakatan sekiranya diberi peluang menerajui negara.

Antaranya merombak struktur subsidi negara bagi mengurangkan subsidi kepada swasta seperti subsidi gas sebanyak RM19 bilion setahun.

Bagi mengurangkan bebanan rakyat dihimpit pembayaran tol, Buku Jingga menyatakan langkahnya untuk menyelaras badan-badan milik kerajaan yang memiliki konsesi lebuh raya untuk ambil alih aset lebuh raya oleh kerajaan dengan tujuan menghapuskan tol.

Struktur gaji pendidik juga dirombak bermula dengan menaikkan imbuhan perguruan sebanyak RM500 sebulan.

Kumar berkata, pendekatan yang akan digunakan Pakatan sepanjang berkempen menuju pilihan raya juga turut dijadikan asas penting kejayaan PRU 13.

“Tawaran dan dasar Buku Jingga kunci kekuatan kita turun padang menerangkan kepada rakyat dan untuk ini, pihak penerangan ada kaedahnya.

“Contohnya, dalam isu Felda, kita akan perincikan isu perumahan anak-anak peneroka. Kita pastikan hutang peneroka dikaji semula sekurang-kurangnya untuk kurangkan hutang mereka,” katanya.

“Selain itu, ia melibatkan Kadar Perahan Gred (KPG) supaya mendatangkan untung kepada peneroka,” jelas Kumar.

Tiada ulasan: