SABAH KINI |
TONTON VIDEOKLIP |
TAWAU
: Kawasan Hutan Simpan Gunung Rara yang terletak kira-kira 130
kilometer dari sini bukan lagi menjadi tempat perlindungan yang selamat
bagi gajah pigmy atau Gajah Kerdil Borneo apabila 10 ekor haiwan spesies
yang dilindungi itu ditemui mati dipercayai diracun dalam tempoh dua
minggu lalu.
Kesemua gajah yang
ditemui mati itu dipercayai daripada satu keluarga membabitkan tujuh
betina dan tiga jantan berusia dari empat hingga 20 tahun.
Pihak
berkuasa tidak menolak kemungkinan kesemua gajah tersebut menjadi
mangsa kekejaman manusia termasuk siasatan terhadap penggunaan racun
tikus.
Teori
racun tikus itu timbul selepas kes tujuh ekor gajah pigmy ditemui mati
akibat termakan bahan berbahaya itu di Rizah Hidupan Liar Tabin, Lahad
Datu kira-kira 10 tahun lalu.
Pengarah
Jabatan Hidupan Liar Sabah, Datuk Dr. Laurentius Ambu ketika dihubungi
semalam menceritakan, misteri kematian haiwan itu dilaporkan pada 23
Januari lalu selepas empat bangkai gajah ditemui di sepanjang jalan
pembalakan Telupid di kawasan hutan simpan berkenaan.
Kawasan
penemuan bangkai itu pula terletak kira-kira lima kilometer dari kem
pembalakan Empayar Kejora Sdn. Bhd, sebuah anak syarikat Yayasan Sabah.
“Sepasukan
anggota dari Jabatan Hidupan Liar telah menyiasat di lokasi tersebut
sebelum menemui empat lagi bangkai gajah dua hari kemudian,” katanya.
Awal
bulan ini, kakitangan jabatan itu menemui dua bangkai gajah di kawasan
berkenaan dan menjadikan keseluruhan bangkai yang ditemui ialah 10 ekor.
Beliau juga mengesahkan siasatan awal mendapati kesemua gajah tersebut mati akibat termakan racun.
Sesuatu
yang menyayat hati bagi pakar veterinar, Dr Sen Nathan apabila melihat
seekor anak gajah pigmi Borneo cuba menggerakkan ibunya yang sudah mati
di Hutan Simpan Gunung Rara, Tawau di Sabah.
Pakar
veterinar Jabatan Hidupan Liar Sabah itu menyaksikan sendiri detik
berkenaan ketika melakukan siasatan berhubung misteri kematian sepuluh
ekor gajah terdiri daripada tujuh gajah betina dan tiga gajah jantan di
Unit Pengurusan Hutan (FMU) 23, kawasan konsesi Yayasan Sabah di hutan
simpan berkenaan iaitu kira-kira 130 kilometer dari Tawau.
“Saya
berasa sangat sedih, tiada perkataan untuk menggambarkan perasaan
saya,” katanya, sambil menambah bahawa anak gajah jantan berusia tiga
bulan bernama Kejora itu telah dihantar ke Zoo Hidupan Liar Lok Kawi
untuk dijaga termasuk bagi memberi susu botol.
Sepuluh
ekor gajah berumur antara empat hingga 20 tahun ditemui mati antara 29
Disember dan 24 Januari lalu di kawasan Lembah Danum dan Lembangan
Maliau.
Pengarah Jabatan Hidupan Liar Sabah, Datuk Dr Laurentius Ambu berkata keracunan mungkin punca utama kematian gajah berkenaan.
“Post
mortem yang dilakukan mendapati tiada kesan kecederaan akibat tembakan
sebaliknya bahagian organ dalaman gajah-gajah berkenaan rosak teruk.
Selain bahagian usus, mulut dan anus mereka turut didapati berdarah.
“Kami
mengesyaki terdapat unsur keracunan daripada bahan makanan yang mereka
makan (toksin semulajadi atau racun perosak) tetapi kita masih menunggu
laporan makmal analisis kimia,” kata Dr Ambu.
Menurut
Ambu, laporan pertama diterima pada Selasa ketika pegawai Tabung
Hidupan Liar Sedunia (WWF) menjalankan kajian hidupan liar dimaklumkan
oleh seorang pekerja mengenai kematian gajah kira-kira 5 kilometer dari
pintu Syarikat Empayar Kejora Sdn Bhd iaitu sebuah anak syarikat Yayasan
Sabah.
Katanya
gajah berkenaan mungkin termakan racun di tempat lain dan berjalan
beberapa kilometer sebelum rebah di kawasan berhampiran Empayar Kejora.
“Kami percaya bahawa kematian semua gajah ini ada kaitan antara satu sama lain,” katanya.
|
Tiada ulasan:
Catat Ulasan