KEADILAN DAILY
KUALA LUMPUR : Masyarakat digesa menjadikan kes kematian adik Wiliam Yau Zhen Zhon sebagai iktibar, kata Presiden KEADILAN, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail.Beliau merujuk tragedi menyayat hati menimpa Wiliam, 6 yang ditemui mati di Jeti Kampung Sungai Sireh, Pelabuhan Klang, 24 Januari lalu selepas seminggu hilang dari rumahnya di Putra Heights, Subang.
Dalam kenyataan hari ini, Wan Azizah meminta masyarakat lebih peka dan mengambil sikap bertanggungjawab untuk memastikan tragedi ini tidak berulang.
“Sebagai seorang ibu, saya amat kecewa dengan apa yang terjadi dalam masyarakat kita.
“Masyarakat setempat, ibu bapa dan penjaga haruslah lebih berwaspada dan sentiasa bersedia untuk memastikan anak-anak dalam keadaan selamat di mana jua,” katanya dalam perutusan takziah kepada kedua ibu bapa Wiliam.
Tambahnya, negara pernah bersedih dengan berita kematian Nurin Jazlin (2007), Sharlini (2008) dan terbaru, kematian ngeri Dirang yang dibakar di Johor baru-baru ini.
“Mengenang kepada 3 peristiwa ini, sebak dan sayu pasti menyelubungi kita semua. Sikap prihatin sesama kita adalah tanggungjawab bersama,” katanya.
Dalam pada itu, Wan Azizah turut menggesa Polis Diraja Malaysia memberi keutamaan kepada agenda keselamatan terutama melibatkan wanita dan kanak-kanak.
“Keganasan rumah tangga, aktiviti pemerdagangan manusia, penculikan dan pembunuhan adalah kegiatan yang perlu diperhatikan oleh pihak keselamatan dengan serius dan tekad untuk membanteras,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan