SINAR HARIAN
KUALA LUMPUR - Angkatan Tentera Malaysia (ATM) hari ini melancarkan
Pelan Integriti yang bertujuan mencegah serta membanteras segala bentuk
rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan di kalangan warga pasukan
itu.
Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd. Zin yang melancarkan
pelan tersebut di Kementerian Pertahanan di sini berkata ia merupakan
agenda ATM dalam membudayakan integriti ke arah memartabatkan
profesionalisme, komitmen, kecemerlangan dan imej institusi ketenteraan
yang berprestij di mata rakyat.
"Berlandaskan semangat Pelan Integriti Nasional (PIN), pelan tindakan
ini dirancang secara komprehensif dan pragmatik serta mampu
memperkasakan agenda pengurusan dan pentadbiran ATM di tahap terbaik dan
cemerlang," katanya dalam ucapannya pada majlis pelancaran itu.
Turut hadir Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal
Abidin; Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar dan
Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Rodzali Daud.
Antara lain, pelan itu menggariskan lima lagi strategi iaitu
memantapkan keutuhan organisasi serta tadbir urus terbaik, meningkatkan
kesiagaan dan keberkesanan penyampaian perkhidmatan dan meningkatkan
disiplin serta sistem pemerintahan rejimental.
"Strategi lain itu yang digariskan adalah mengukuhkan aspek-aspek
kerohanian dan penghayatan nilai-nilai murni dan menambahkan kualiti
hidup dan institusi kekeluargaan," katanya.- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan