Johor, kubu kuat Umno kembali menyaksikan pergeseran dalaman menjelang Pilihan Raya Umum ke-13, akibat persaingan merebut jawatan menteri besar yang telah beberapa kali disebut-sebut akan berlaku peralihan.
Pergeseran yang hangat menjelang Pilihan Raya Umum ke-12 dahulu kembali hangat ekoran peningkatan pertembungan melibatkan Menteri Besar Datuk Abdul Ghani Othman, Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan, terutama ekoran penutupan bilik gerakan Umno di Pasir Gudang, kawasan Parlimen Khaled.
Khaled dilihat menghadapi tekanan daripada Abdul Ghani dan Ahmad, dua pemimpin di Johor yang merupakan saingan kuat beliau, yang disebut-sebut akan menggantikan Ghani sebagai menteri besar sejak sebelum Pilihan Raya Umum ke-11 lagi.
Khaled meningkatkan usaha mencabar Ghani sejak lebih setahun lalu, ekoran merasakan disabotaj secara tidak langsung melalui tindakan-tindakan Ghani termasuk kelewatan meluluskan hak milik tanah di kawasan Khaled.
Terbaharu, orang kuat Khaled, Ketua Pemuda Umno Pasir Gudang, Rohazam Shah Ahmad memberi amaran kepada Ghani dan Ahmad, mendakwa Ghani tidak menunaikan janji, dipercayai sebagai membalas amaran Ahmad sebelum ini berhubung tindakan boikot oleh ahli Umno di Pasir Gudang itu.
Kenyataan ini ialah kenyataan paling terbuka setakat ini melibatkan pertembungan antara kem Khaled dengan Ghani dan Ahmad yang semakin sengit pada masa ini.
Serangan terbuka ini dilihat sebagai sokongan semakin kuat diterima Khaled dalam berdepan Ghani, dan turut dikaitkan sesetengah pemerhati dengan perubahan melibatkan istana.
Perkembangan di negeri kubu kuat Umno ini meningkatkan lagi kebimbangan Umno terhadap sabotaj dalaman yang semakin dibimbangi terutama ekoran hasil Pilihan Raya Umum ke-12 lalu.
Khaled mendapat sokongan banyak pihak untuk menggantikan Ghani sebagai menteri besar, tetapi projek-projek besar seperti Iskandar dan Nusajaya dilihat mengukuhkan kedudukan Ghani sebagai menteri besar.
Walau bagaimanapun, Khaled bukan satu-satunya yang dilihat berpotensi menggantikan Ghani, kerana beberapa nama lain turut disebut.
Johor menyaksikan peningkatan kekuatan parti-parti Pakatan Rakyat sejak pilihan raya umum yang lalu, dengan parti-parti Pakatan Rakyat terutama DAP dijangka menambah beberapa kerusi lagi dalam Pilihan Raya Umum ke-13 nanti.
Negeri ini walau bagaimanapun masih kekal sebagai kubu kuat Umno, disebabkan jumlah ahli dan pengundi tetap yang ramai dan kawasan-kawasan Felda yang masih dikuasai Umno.
Perkembangan ini mendedahkan tekanan yang semakin meningkat dihadapi Umno, termasuk sehingga melibatkan negeri kubu kuatnya, yang bakal memberi kesan kepada keseluruhan Umno dan Barisan Nasional dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 dan masa-masa akan datang.http://siasahdaily.blogspot.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan