Selasa, 29 Januari 2013

Pemimpin MIC tuntut IPCMC berikutan dengan kematian Sugumaran

TERKINI

KUALA LUMPUR— Kerajaan seharusnya menubuhkan Suruhanjaya Aduan dan Salahlaku Polis (IPCMC) berikutan dengan kematian pengawal keselamatan C Sugumaran dan dakwaan kematian lain dalam tahanan polis, kata pengarah strategi MIC S Vell Paari.

Beliau mencadangkan kepada polis melaksanakan inkues untuk mengetahui kematian lelaki berusia 39 tahun itu, pada masa sama mengakui orang ramai mungkin tidak yakin dengan kebebasannya.

“Hakikatnya inkues diperlukan kerana ia menunjukkan banyak perbezaan pandangan mengenai bagaimana Sugumaran mati,” kata anak kepada bekas presiden MIC Datuk Seri S Samy Vellu, yang mengirim email apabila ditanya pandangannya.

“Tetapi inkues berdasarkan bukti dari proses yang dikatakan majoriti akan tercemar tidak akan diterima sebagai bebas dan adil.

“Jadi pada pandangan saya penubuhan IPCMC adalah jalan terbaik. Bukan hanya menyiasat kematian Sugumaran, tetapi semua dakwaan kematian dalam tahanan polis,” katanya, dan menambah ia merupakan janji bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi.

“Saya mahu kerajaan buat apa yang terbaik untuk negara,” Vell Paari (gambar) memberitahu The Malaysian Insider apabila menerangkan mengapa beliau mahu penubuhan IPCMC.

Minggu lalu, timbalan perdana menteri enggan memberi komen apabila ditanya mengenai penubuhan IPCMC selepas kematian Sugumaran — ditemui mati digari.

Majlis Peguam, badan hak asasi manusia dan pembangkang menyeru IPCMC ditubuhkan bagi mereformasikan polis sejak tahun 2006.
Jun lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz memberitahu parlimen kerajaan tidak bercadang menubuhkan IPCMC.

Kematian Sugumaran dikaitkan dengan banyak lagi kes kematian yang didakwa melibatkan polis seperti kematian Chang Chin Te awal tahun ini, A Kugan dan R Gunasegaran pada 2009, serta kematian pelajar sekolah Aminulrasyid Amzah pada 2010 dan beberapa kematian dalam dua tahun ini.

Kumpulan Kerja Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu mengenai Penahanan Sewenang-wenang 2010 (United Nations Working Group on Arbitrary Detention 2010) melaporkan pada 2011 bahawa antara 2003 hingga 2007, terdapat 1,500 tahanan mati ketika ditahan pihak berkuasa.

Vell Paari kemudian menambah, bedah siasat kedua ke atas Sugumaran mesti dilakukan oleh pakar yang dirasakan bebas oleh keluarga mangsa.

“Bukan yang ada sekarang, pasukan yang dibawa luar dari hospital kerajaan atau mungkin dari luar negara. Pasukan yang keluarga bersetuju ia adalah bebas,” katanya lagi.

Khamis lalu, polis berkata bedah siasat dari Hospital Serdang mendapati Sugumaran mati kerana serangan jantung.

Ahad lalu, peguam N. Surendran berkata polis belum membenarkan bedah siasat kedua ke atas Sugumaran walaupun bantahan pihak keluarga.

Surendran yang juga naib presiden PKR, berkata keluarganya akan menunjuk perasaan di hadapan ibu pejabat polis di Bukit Aman bagi menuntut bedah siasat kedua dijalankan.

Semalam, keluarga beliau dilaporkan menolak cadangan polis untuk mengadakan inkues dan mahu dakwaan bunuh di bawah seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Polis semalam berkata mereka kekurangan bukti untuk melancarkan siasatan pembunuhan tentang kematian Sugumaran, dan mahu pihak saksi tampil ke hadapan membantu polis menjalankan siasatan.

Khamis lalu, saksi mendakwa anggota polis menggari lelaki berusia 39 tahun itu sebelum memukul beliau sehingga mati bersama 20 orang berhampiran rumahnya di Batu 12, Hulu Langat Rabu lalu.

Polis mendakwa mereka menggari Sugumaran dengan bantuan 10 orang ramai, dan beliau kemudian meronta-ronta selepas mengamuk dengan batang besi, dan menegaskan tiada siapa yang menyerang beliau.

Tiada ulasan: