Rabu, 30 Januari 2013

Sindiket jual bayi: Polis rujuk kertas siasatan ke Pejabat Pendakwa Raya esok

SINAR HARIAN

NIBONG TEBAL - Polis Pulau Pinang telah menyiapkan kertas siasatan berhubung penahanan lapan individu termasuk doktor sebuah klinik swasta dan pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) berkaitan kes sindiket penjualan bayi dan kanak-kanak.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata kertas siasatan itu akan dirujuk kepada Pejabat Pendakwa Raya esok untuk tindakan selanjutnya.

"Kertas siasatan kes itu sudah siap dan kita akan hantar esok dan kita jangka keputusan untuk mendakwa mereka pada Jumaat ini," katanya kepada pemberita selepas program Lawatan Ketua Polis Pulau Pinang ke Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Jawi, di sini, hari ini.

Abdul Rahim berkata setakat ini polis menahan 36 individu, termasuk dua tangkapan baru iaitu pasangan suami isteri berumur lingkungan 50an di Bukit Mertajam serta menyelamatkan seorang kanak-kanak perempuan berumur tiga tahun.

"Dua puluh dua daripada mereka yang ditahan sudah dibebaskan dengan ikat jamin mahkamah mengikut Seksyen 118 Kanun Prosedur Jenayah," katanya.

Khamis lepas, Polis Pulau Pinang membongkar sindiket menjual bayi dan kanak-kanak yang aktif di utara tanah air dengan penahanan 33 individu berumur antara 23 hingga 52 tahun.

Dalam serbuan di sebuah tempat persembunyian bayi dan kanak-kanak itu, polis menyelamatkan lapan bayi dan seorang kanak-kanak berusia lapan tahun.

Polis turut menyelamatkan seorang lagi kanak-kanak perempuan pada Isnin dan menahan pasangan suami isteri menjadikan jumlah tangkapan 36 orang dan bayi serta kanak-kanak yang diselamatkan 10 orang.

Lima daripada yang ditahan sudah didakwa di Mahkamah Sesyen Butterworth 25 Januari lepas sementara kesemua bayi dan kanak-kanak itu kini diletakkan di bawah perlindungan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). - Bernama

Tiada ulasan: