Penyanyi
nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin memberitahu
keputusannya untuk bertudung litup mendapat sokongan daripada suaminya,
Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa.
Siti berkata, suaminya benar-benar gembira
selepas beliau terbuka hati untuk melakukan kewajipan sebagai Muslimah
iaitu menutup rambut sepenuhnya ketika menyambut ulang tahun kelahiran
yang ke 34 pada 11 Januari lalu.
“Suami
saya adalah antara yang sangat gembira dengan peralihan imej Siti dan
boleh dikatakan dia juga merupakan tunggak yang banyak menyokong kepada
perubahan ini.
“Bagi
Siti, ia adalah satu keikhlasan yang datang daripada diri dan berharap
agar imej ini kekal sampai bila-bila,” katanya kepada mStar Online
ketika dihubungi di sini pada Isnin.
Tambah
Siti, dia juga menganggap perubahan yang dilakukan ini berkat daripada
doa daripada dirinya sendiri, keluarga serta peminat apatah lagi
selepas beliau mengerjakan haji sebelum ini.
Sementara itu, Siti berkata, walaupun sudah berhijab, ia bukanlah satu penghalang untuk beliau aktif dalam karier seni.
Malah Siti
masih lagi mendapat khidmat pereka fesyen kegemarannya iaitu Rizman
Ruzaini dalam membantu memadankan busana dan hijab yang sesuai untuk
dipakai.
“Sebelum
ini saya sudah biasa tampil berselendang dan imej sekarang ini tidak
membuatkan diri berasa janggal, malah ia akan disesuaikan mengikut
corak persembahan.
“Buat masa ini Rizman Ruzaini akan membantu dalam menyesuaikan gaya tudung dan imej untuk muncul di pentas.
“Siti juga
selesa tampil memakai ‘inner’ di dalam manakala di bahagian luar pula,
Siti gayakan mengikut cara sendiri dengan mendapat ilham fesyen yang
terkini.
“Siti juga
mengambil inspirasi daripada majalah, Internet serta melihat di
YouTube dan menggabungkan gaya-gaya yang sesuai mengikut keselesaan
diri. Mungkin fesyennya akan berubah-ubah juga nanti,” tuturnya.
Ditanya
adakah sebarang perbezaan sebelum dan selepas bertudung, kata Siti dia
lebih berfikiran positif dan berharap akan menjadi lebih tenang dalam
menjalani kehidupan seharian.
“Saya yakin apa yang baik itu akan diterima, malah ramai yang gembira dan mendoakan, Insya-Allah,” ujarnya.
Dalam
perkembangan lain Siti akan berehat sehingga Mac depan untuk memberi
tumpuan kepada penjagaan suaminya yang masih dirawat akibat kemalangan
motosikal di New Zealand pada 13 Disember lalu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan