Selasa, 22 Januari 2013

Sikap queen control bebankan suami

Wartawan Sinar Harian

queen control
Sikap queen control bebankan suami
 
SEORANG wanita dan isteri yang bekerja untuk menyara keluarga tidak boleh dilabelkan sebagai queen control, kata perunding motivasi dan kaunseling, Hushim Salleh.

Beliau berkata, mereka yang meletakkan panggilan sebegitu kepada golongan isteri yang mencari nafkah untuk keluarganya adalah individu yang berfikiran dangkal.

"Walaupun, dunia semakin moden, masih terdapat masyarakat berfikiran cetek dan suka meletakkan label tanpa mengetahui apa yang berlaku. Adalah sesuatu yang lazim berlaku dalam masyarakat apabila si isteri itu bekerja dan menanggung keluarga dia terus dikatakan sebagai queen control. Sedangkan tidak diketahui, jika si isteri itu tidak bekerja mencari nafkah, keluarganya akan susah," katanya.

Hushim menambah, sekarang ini perubahan yang berlaku dari segi sistem pendidikan, wanita lebih ramai belajar ke peringkat institusi pengajian tinggi berbanding lelaki.

Oleh itu, secara langsung apabila memasuki dunia pekerjaan, ramai wanita yang mendominasi kedudukan kerjaya lebih baik dengan tawaran gaji lebih besar berbanding lelaki.

Sementara itu, soal jodoh adalah rahsia ALLAH SWT. Bukan semua wanita berpangkat, bergaji besar bertemu jodoh dengan suami yang berpangkat atau setaraf dengannya.

"Ada satu kes di mana, isterinya pensyarah bergaji besar sedangkan si suami bekerja taraf buruh dan mereka mempunyai lapan anak. Setelah mereka berbincang, si suami setuju berhenti kerja menguruskan rumah tangga dan anak sementara isteri terus bekerja," katanya.

Alasan dan persetujuan yang dicapai adalah mudah iaitu jika hantar anak ke pengasuh, namun kos seorang anak bukan murah. Malah, keselamatan anak juga tidak terjamin jika hendak dibandingkan dengan ayahnya yang jaga sendiri.

"Oleh itu, dalam hal sebegini apa yang mustahak adalah kata sepakat antara suami dan isteri," katanya sambil memberitahu pedulikan kata orang sekiranya kata-kata itu cenderung kepada kerosakan.

Mengulas lanjut, Hushim berkata, taraf atau maruah seorang suami tidak akan tercalar sekiranya pasangan tersebut saling memahami, berterus terang dan sepakat.

"Keadaan queen control tidak akan timbul jika si isteri itu yang lebih dominan berbanding suami. Kadang-kadang ada suami yang tidak pandai menguruskan soal kewangan dan perjalanan keluarganya malah bersikap sambil lewa menguruskan kebajikan keluarga.

"Isteri kemudian mengambil alih tugas tersebut demi kebaikan mereka sekeluarga. Misal kata, jika isteri tak kawal, perbelanjaan rumah dan pengurusan anak lintang pukang, simpanan keluarga dan hal kebajikan keluarga tidak sempurna," katanya.

Keadaan queen control ini boleh dikatakan berlaku apabila, si isteri menguruskan atau mengawal kewangan suami untuk keseronokan dirinya semata-mata dan mengabaikan kebajikan anak-anak serta keluarga, katanya.

"Queen control ini bukan sahaja merujuk kepada isteri yang suka menengking atau meninggikan suara kepada suami sahaja, isteri yang berlemah lembut tetapi setiap tingkah lakunya membebankan suami juga adalah layak digelar sebagai queen control. Jika si isteri bersuara keras tetapi tidak menjadi masalah kepada suami malah menganggapnya sebagai perkara biasa, bukanlah queen control namanya.

"Kita perlu lihat terlebih dahulu definisi queen control kerana ada positif dan negatif. Apabila seorang isteri mengawal segala-galanya termasuk pergerakan suami sehingga suami tidak ada hak untuk bersuara, itu adalah queen control negatif dan harus waspada kerana dikhuatiri si isteri tersebut menjadi nusyuz," katanya.

Tiada ulasan: