SINAR HARIAN
SHAH ALAM - Prosiding di Kompleks Mahkamah Sultan Salahuddin Abdul Aziz
Shah di sini terganggu kira-kira sejam hari ini gara-gara panggilan bom
palsu.
Ia merupakan panggilan bom palsu kedua berlaku di kompleks berkenaan
dalam tempoh dua bulan, selepas kejadian pertama dilaporkan pada
November lepas.
Lebih 400 petugas mahkamah termasuk orang awam diarah mengosongkan
kompleks itu dan berhimpun di perkarangan letak kereta sementara
menunggu pasukan unit pemusnah bom dan unit anjing pengesan memeriksa
seluruh bangunan mahkamah.
Mereka bagaimanapun tidak menemui bom atau sebarang unsur bahan letupan.
Timbalan Ketua Polis Daerah Shah Alam Supt Mazlan Othman berkata polis
menerima maklumat mengenai panggilan bom itu kira-kira pukul 8.40 pagi
selepas pihak mahkamah memaklumkan menerima panggilan telefon daripada
seorang lelaki yang mendakwa terdapat bom di kawasan tempat letak
kenderaan di bahagian tingkat bawah dan kafeteria.
"Hasil siasatan kami mendapati ia adalah panggilan palsu. Kami telah
benarkan operasi mahkamah diteruskan tetapi orang ramai diminta
berjaga-jaga jika ternampak atau terjumpa objek mencurigakan sila
maklumkan kepada kami" katanya.
Mazlan berkata unit pasukan pemusnah bom akan ditempatkan di kawasan
bangunan mahkamah sehingga tengah hari sebagai langkah berjaga-jaga. -
Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan