Menceritakan kejadian itu, mangsa, S Krishna Kumahri, 24, berkata, dia bersama seorang lagi rakan sekerjanya pergi ke tempat letak kereta di pusat beli-belah itu pada kira-kira jam jam 10 malam.
“Saya mahu menghantar rakan saya itu pulang, tiba-tiba dua orang lelaki menaiki sebuah motosikal menghampiri kami.
“Salah seorang daripada mereka memukul saya dari arah belakang sebelum melibas dan menetak dengan senjata tajam dipercayai parang,” katanya.
Menurutnya, dia berlari dalam keadaan berlumuran darah sejauh 50 meter ke arah pondok pengawal untuk meminta bantuan.
“Pengawal itu memberitahu ibu jari saya putus, saya dihantar ke Hospital Selayang untuk menerima rawatan, malangnya ibu jari yang putus itu gagal disambung semula,” katanya.
Krishna berkata, ketika kejadian itu, lelaki yang memukulnya turut mengugut bahawa dia akan menerima padah jika meminta cerai daripada suaminya yang berusia 34 tahun.
Katanya, dia mahu berpisah dengan suaminya itu kerana tidak tahan dengan sikap lelaki itu yang didakwa selalu menderanya.
Menurutnya, dia pernah menerima rawatan di hospital sebanyak dua kali akibat sering dipukul dan lebih 10 laporan polis dibuat berhubung keganasan terhadapnya itu.
Wanita itu mendakwa suaminya dipaksa berkahwin dengannya pada 2001 dan suami isteri itu dikurniakan tiga orang anak berusia dalam lingkungan lima hingga 11 tahun.
“Saya tidak duduk sebumbung dengan suami sejak dua tahun lalu. Saya dan tiga orang anak hidup dalam ketakutan akibat insiden ini,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah berkata, pihaknya akan menyemak laporan Krishna dan tindakan susulan akan diambil.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan