SINAR HARIAN
KUALA LUMPUR - Memiliki kerjaya dan mampu menyara hidup dengan
pendapatan bulanan ternyata tidak memadai bagi sesetengah wanita
tempatan yang sanggup menjadi pelacur kelas atasan demi kemewahan.
Mengetepikan aspek moral dan agama, mereka ini bekerja secara sambilan
dan hanya melayan pelangggan apabila ada masa terluang, namun apabila
diberkas, ada yang mendakwa terperangkap dengan jerat sindiket.
Hakikatnya, kata Ketua Penolong Pengarah Bahagian Kongsi Gelap, Judi
dan Maksiat (D7) Bukit Aman Datuk Abdul Jalil Hassan, sindiket itu tidak
memaksa wanita terbabit memperdagangkan diri, tetapi hanya mempelawa
dengan jaminan upah lumayan.
Mereka bergerak menerusi orang tengah atau 'ibu ayam' atau 'mami' yang
akan mencari pelanggan untuk wanita terbabit. Ada mami ini sebenarnya
rakan kepada wanita berkenaan, katanya kepada Bernama di sini.
"Ada wanita yang sudah biasa dengan aktivitinya ini selalunya akan
memaklumkan sendiri kepada mami sekiranya mereka mempunyai waktu
terluang," katanya.
Berdasarkan serbuan sebelum ini, Abdul Jalil berkata terdapat mami yang
sebenarnya merupakan pengusaha salun kecantikan dan menjalankan
kegiatan tidak bermoral itu secara sambilan.
"Lazimnya kalau seorang pelacur memperoleh RM450, mami akan dapat
komisen RM200," katanya menambah berdasarkan siasatan, seorang pelacur
mengenakan caj antara RM450 dan RM800 untuk menjadi teman berhibur
selama empat jam, serta minimum RM1,500 untuk hubungan seks.
Kegiatan itu yang membabitkan wanita berusia dalam lingkungan 18 tahun
dan 20-an dikesan di sekitar Lembah Klang, Johor Baharu serta Pulau
Pinang dan bergerak secara eksklusif, membabitkan pelanggan elit dan
profesional.
"Apa pun kegiatan ini masih boleh dikira dan ia masih terkawal. Kita
sentiasa jalankan risikan, pemantauan termasuk operasi dan bekerjasama
rapat dengan badan-badan bukan kerajaan bagi membantu wanita-wanita yang
telah tersasar atau mempunyai masalah latar belakang seperti ini,"
katanya.
Mereka yang ditahan, sama ada terlibat atau menjadi ejen bagi kegiatan
itu boleh disiasat mengikut Seksyen 372 (B) Kanun Keseksaan yang membawa
hukuman penjara setahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit
kesalahan dan Seksyen 373 Kanun Keseksaan.
Statistik terkini D7 Ibu Pejabat Polis Bukit Aman menunjukkan 2,772
wanita tempatan ditangkap terbabit pelacuran tahun lepas, berbanding
1,801 pada 2011, iaitu peningkatan 54 peratus.
Sebanyak 42,788 serbuan dijalankan tahun lepas dengan serbuan tertinggi
di Johor Baharu iaitu 8,749 serbuan berbanding 7,288 serbuan pada 2011.
Ini diikuti Kuala Lumpur (8,620); Selangor (6,663) dan Perak (5,426).
Presiden Pertubuhan Sukarelawan Pembangunan Sosial, Pencegahan Jenayah
dan Anti Dadah Kuala Lumpur (Pencegah), Jeevan S. Ramamurthy berkata kos
sara hidup
yang tinggi bukan lagi faktor utama kegiatan pelacuran dalam kalangan
wanita terbabit kerana sebahagian mereka mempunyai kerjaya.
Bagaimanapun katanya ada sesetengah terbabit dalam kegiatan tidak
bermoral itu kerana terpengaruh dengan ajakan kawan yang mempunyai
kenalan lelaki kaya.
"Sekali mereka terjebak, timbul rasa suka dan faktor itu jugalah yang
membuatkan mereka dengan rela hati untuk melayan termasuk melayan nafsu
sendiri dan pelanggannya," katanya. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan