KUALA LUMPUR= Tindakan blogger Umno menarik balik tuduhan terhadap Menteri Besar Kelantan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Ahli Parlimen Beruas Ngeh Koo Ham dan Ahli Parlimen Taiping Nga Kor Meng berhubung pemberian tanah membuktikan cubaan Umno BN untuk memburukkan-burukan Pakatan Rakyat.
Berminggu-minggu akhbar Umno Utusan Malaysia memainkan isu ini untuk memfitnah Pakatan Rakyat adalah semata-mata untuk menutup skandal yang membabitkan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.
Mantan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin percaya Umno sengaja membuat fitnah itu untuk mengalih pandangan masyarakat dari skandal melibatkan pemberian projek kepada pegawai khas Zambry.
Sebelum ini, Nizar pernah mendedahkan di sidang Dun Perak berhubung satu perjanjian antara pemilik tanah Rumah Perak iaitu Setiausaha Kerajaan Negeri Perak dengan Syarikat Al Creative Developers Sdn Bhd di mana ianya mempunyai hubungan dengan pegawai khas Zambry.
Beliau menjelaskan, perjanjian pembangunan tersebut berdasarkan kepada BOT (build operate transfer) di mana pemaju akan diberikan konsesi selama 30 tahun untuk mengurus Rumah Perak.
Adun Pasir Panjang itu berkata, pemaju tersebut dibenarkan membina sebuah hotel bertaraf 3 bintang setinggi 6 tingkat di tapak tanah Rumah Perak.
Mohammad Nizar berkata, selepas disemak di Suruhanjaya Syarikat Malaysia terbukti syarikat tersebut tidak aktif.
Dalam pada itu, Nizar turut mendedahkan isu pemberian konsesi balak dengan mendakwa kerajaan negeri tidak telus kerana meluluskan pemberian itu kepada individu sama yang menggunakan enam syarikat berlainan.
"Skandal inilah yang saya timbulkan, untuk elakkan isu ini mendapat pandangan masyarakat akhbar Umno sengaja memfitnah isu pemberian tanah di Kelantan pula.
"Akhirnya bloger Umno semudah itu menarik balik tuduhannya dan mengaku ada kesilapan fakta, takut dengan saman mahkamah," katanya kepada Harakahdaily.
Menurut Nizar, blogger Pisau.net adalah blogger upahan Zambry untuk membuat fitnah itu.
Pada 13 Januari baru-baru ini, blog Pisau.net membuat pembetulan terhadap kenyataanya berhubung pertukaran tanah dan jawatan Menteri Besar Perak dan menarik balik fitnahnya dengan mengatakan tidak berlaku pemberian tanah secara percuma.
"Pisau mendapati berlaku percanggahan fakta yang tidak tepat yang diperolehi dari sumber sebelum ini dan berasa bertanggungjawab untuk memperbetulkan demi kebenaran," demikian sebagaimana dipetik dari blog terbabit.-harakahdaily
Tiada ulasan:
Catat Ulasan