Jumaat, 18 Januari 2013

Tanpa majoriti besar sebuah kerajaan masih dianggap lemah, kata Dr M



Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mengatakan tanpa kemenangan 
majoriti besar 2/3 sesebuah kerajaan tersebut masih dianggap 
lemah. —Gambar oleh Choo Choo May
SHAH ALAM— Tanpa kemenangan majoriti besar 2/3 sesebuah kerajaan tersebut masih dianggap lemah kata Tun Dr Mahathir Mohamad dalam satu forum hari ini bertajuk “Masa Depan Melayu dan Islam Selepas Pilihan Raya Ke-13”, serta menambah kerajaan terpaksa mentadbir dalam rasa takut akibat daripada situasi tersebut.
 Mahathir menyifatkan keberanian dan kelantangan banyak pihak yang mengecam kerajaan ketika ini adalah berpunca daripada keputusan lalu yang menyaksikan kerajaan Umno-Barisan Nasional hilang majoriti tradisionalnya.

“Ini soal kuat dan lemah, sekarang kita (Umno) lemah dan tanpa majoriti 2/3 kita akan terus menjadi lemah,” kata mantan perdana menteri itu.

“Kalau kerajaan kuat, orang tidak akan berani mencabar kerajaan.”

Menurut Mahathir lagi, akibat daripada kerajaan yang lemah telah menyebabkan orang ramai kurang yakin dengan kepimpinan sedia ada serta berada dalam keadaan takut jika melakukan kesilapan walaupun berjaya memenangi pilihan raya lalu.

“Akibatnya, orang ramai tidak yakin dengan pemimpin yang ada... Dan kerajaan menjadi lemah,” ujar Mahathir lagi.

Mahathir juga memberikan contoh ke atas langkah Putrajaya yang menghapuskan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sebagai punca daripada sebuah pentadbiran yang lemah.

“Seperti ISA, kenapa kita malu sangat dengan ISA ini?

“Malahan Amerika Syarikat juga menangkap orang tanpa dibicarakan, mereka menahan orang tanpa mengikut undang-undang,” kata beliau lagi.

Di samping itu, PM paling lama tersebut juga memberikan amaran sekiranya perkara ini tidak ditangani dan kerajaan masih lemah, keadaan lebih buruk akan menimpa negara terutamanya melibatkan bangsa Melayu.

“Jika kita benarkan menjadi lemah, kita akan jadi lebih teruk lagi,” tambah beliau.

Menjelang PRU yang akan diadakan tahun ini, PM Datuk Seri Mohd Najib Razak merayu agar pengundi memberikan mandat untuk meneruskan dasar reformasi beliau yang boleh merangsang Malaysia ke hadapan dan lebih baik walaupun mengakui kelesuan parti itu dan gabungan pemerintah BN itu ke arah perubahan.

Najib berkata mandat besar diperlukannya jika Malaysia mahu meningkat dalam ekonomi global untuk menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi.

Di samping itu, Najib juga mengakui bahawa BN dan parti utama, Umno kurang popular sejak tahun kebelakangan ini disebabkan kelemahan tetapi menggesa pengundi memberinya peluang untuk membuat perubahan yang diperlukan.

Hampir 13 juta pengundi layak untuk membuang undi mereka jika pilihan raya umum dipanggil melibatkan semua 222 kerusi persekutuan dan 505 kerusi di 12 negeri.

Tiada ulasan: