SINAR HARIAN
KLANG - Seorang mekanik dihukum penjara 12 bulan oleh Mahkamah
Majistret di sini kerana mendera anak tirinya yang berumur tiga tahun
menggunakan senduk nasi dan acuan muruku pada September tahun lepas.
Perbuatan tertuduh, T.Rajasegaran, 32, ke atas mangsa dirakam dalam
klip video selama lapan minit 33 saat dan disebar melalui laman Facebook
baru-baru ini.
Majistret Ng Siew Wee menjatuhkan hukuman itu selepas Ragasegaran, yang
sebelum ini mengaku tidak bersalah ketika pertama kali dihadapkan ke
mahkamah pada 18 Dis lepas, menukar pengakuannya.
Ng memerintahkan tertuduh menjalani hukuman itu mulai tarikh dia ditangkap iaitu pada 11 Dis lepas.
Rajasegaran didakwa menganiaya kanak-kanak lelaki itu sehingga
menyebabkan kecederaan fizikal di sebuah rumah di Kapar pada kira-kira
12.30 tengah hari pada September tahun lepas.
Dia didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang
membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun atau denda RM20,000 atau
kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Mangsa merupakan anak isteri kedua tertuduh, S.Nirmala, 29.
Mengikut fakta kes yang dibentangkan Timbalan Pendakwa Raya Munirah
Shamsudin @ Baharum, siasatan mendapati sewaktu kejadian, tertuduh
bertindak menampar muka dan menendang mangsa serta mengangkatnya ke atas
sofa sehingga kanak-kanak malang itu jatuh ke lantai.
Tertuduh juga memukul kepala mangsa dengan acuan muruku dan senduk nasi
selain menumbuk kanak-kanak itu di bahagian belakang badan.
Mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah di sini dan
pemeriksaan mendapati mangsa mempunyai kesan parut lama di kepala, dada
dan tangan serta sedikit parut berdekatan mata kiri selain di
pergelangan tangan.
Terdahulu, Nirmala merayu bagi pihak Rajasegaran supaya mahkamah
menjatuhkan hukuman ringan kerana mendakwa tertuduh memukul anaknya
dengan tujuan mengajar mangsa selepas mendapati kanak-kanak itu cuba
memotong paip gas.
Wanita itu berkata anaknya juga tidak mengalami kecederaan parah.
Dalam perkembangan lain, Rajasegaran dihadapkan ke mahkamah sama atas
pertuduhan berkahwin dengan Nirmala ketika isterinya, E.Citra, 21, masih
hidup.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di No 9, Lorong 51, Taman Ria 6,
Kapar, Klang pada 15 Dis 2011 mengikut Seksyen 494 Kanun Keseksaan yang
membawa hukuman maksimum penjara tujuh tahun atau denda, jika sabit
kesalahan.
Bagaimanapun, Rajasegaran mengaku tidak bersalah dan Ng menetapkan 20
Feb ini sebagai tarikh sebutan kes bagi membolehkan tertuduh melantik
peguam. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan