Selasa, 22 Januari 2013

Apa nilai mahasiswa kita di mata BN dan pentadbiran universiti?

 Oleh Teo Kok Seong



BIARPUN sudah beberapa waktu berlalu, insiden membabitkan seorang mahasiswi Universiti Utara Malaysia (UUM), saudari Bawani dan panelis Sharifah Zohra Jabeen masih panas diperkatakan. Malah, ia menjadi satu jenaka buat rakyat Malaysia.

Dalam gelak-tawa rakyat Malaysia mendengar hujah tidak matang Sharifah Zohra yang mengatakan ‘haiwan pun ada masalah’, saya ingin menyatakan rasa amat kesal terhadap kerajaan BN melalui Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan pentadbiran UUM yang nampaknya seolah-olah menjarakkan diri daripada kontroversi yang berlaku.

Jika pemimpin BN mengatakan forum itu tiada kaitan langsung dengan mereka, siapa yang akan percaya? Dan, jika pihak UUM mendakwa mereka juga tiada kaitan dengan forum tersebut, maka siapakah pula gerangan orang yang meluluskan dan memberi kebenaran untuk mengadakan forum berjudul “Seiringkan mahasiswa dan politik ” di dalam kampus UUM sendiri? Adalah amat pelik apabila pihak UUM memberi alasan bahawa mereka tidak terbabit.

Daripada video tersebut, kita dapat lihat betapa hebatnya panelis “NGO” ini mempertahankan BN sambil menyerang dan mengutuk Bersih sehingga mendakwa Datuk Ambiga cuba mencetuskan arnaki. Tidak terkecuali, tempiasnya juga mengena terus kepada Sasterawan Rakyat, Datuk A.Samad Said.

Ini semua merupakan satu fitnah jahat dan sengaja dilakukan untuk mencetuskan kebencian mahasiswa terhadap pimpinan Bersih biarpun mahkamah memutuskan bahawa Bersih bukanlah satu pertubuhan haram.

Saya percaya kalau tiada pihak atasan yang beri kebenaran atau “green light”, forum itu tidak akan dapat dijalankan. Janganlah pula pihak berkuasa UUM menafikan bahawa kandungan forum tersebut tidak diketahui walhal klip video pertikaman lidah “Listen” telah menular di rangkaian youtube dan facebook.

Tindakan panelis yang merampas mikrofon daripada Bawani secara jelas menafikan hak mahasiswa untuk bersuara. Perkara yang paling tidak boleh diterima oleh kita semua adalah apabila Bawani disuruh untuk belajar ke negara lain jika tidak berpuas hati dengan dasar kerajaan Malaysia. Siapa Sharifah dan atas apa kapasiti Presiden SW1M itu boleh ‘menghalau’ mahasiswa atau seseorang warganegera keluar dari Malaysia?

Sepatutnya Presiden SW1M itu berfikir bahawa sebagai rakyat Malaysia, Bawani malah siapa pun boleh memberi kritikan terhadap dasar kerajaan. Tindakan Bawani mengkritik boleh dianggap satu tindakan patriot yang cintakan negaranya, yang mahu melihat anak bangsa Malaysia merasai nikmat kemakmuran negara yang tercinta. Pemikiran dangkal Sharifah sebagai panelis amat memalukan seluruh rakyat Malaysia.

Saya ingin mengingatkan pihak yang tidak bertanggungjawab ini agar tidak lupa bahawa di Malaysia, anda berhak menggunakan undi untuk menolak parti yang tidak mampu menjaga kepentingan rakyat termasuklah kepentingan dan kebajikan mahasiswa.

Insiden memalukan ini mencerminkan kepada rakyat terutamanya golongan mahasiswa melihat dengan lebih jelas keengganan dan keangkuhan kerajaan BN mendengar suara hati mereka. Adakah kita mahu kerajaan ini terus menerus dengan keangkuhan dan kebiadaban mereka?

Mahasiswa tidak dungu. Mahasiwa hari ini semakin matang untuk membuat keputusan dan menilai. Mereka mempunyai idea dan pandangannya tersendiri. Jadi, suara dan pandangan mahasiswa amat penting dan harus dihormati oleh semua pihak. Mahasiswa, generasi muda adalah penerus kepimpinan negara.

Saya menggesa supaya pihak UUM dan Kementerian Pengajian Tinggi memandang serius terhadap perkara ini. Pihak pentadbiran UUM dan kerajaan BN harus bertanggungjawab terhadap insiden yang berlaku dan perlu memberi penjelasan yang wajar kepada seluruh warga Malaysia. Mereka harus memastikan agar insiden sebegini tidak akan berulang.-Roketkini.com

Tiada ulasan: