Khamis, 3 Mei 2012

Debat PTPTN Khairy-Rafizi ditangguh

Wartawan Sinar Harian

Debat
 
 
SHAH ALAM - Debat terbuka PTPTN anjuran Sinar Harian yang sepatutnya berlangsung di sini malam esok telah ditangguhkan.

Penasihat Eksekutif Editorial Kumpulan Media Karangkraf, Datuk Abd. Jalil Ali berkata, pertemuan antara Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin dengan Pengarah Strategi PKR, Mohd Rafizi Ramli akan diadakan pada satu tarikh lain.

“Kami tidak membatalkan debat yang menjadi tumpuan ramai ini, kami hanya tangguhkan ke satu masa yang akan ditetapkan, insya-ALLAH dalam masa terdekat,” katanya tanpa menyatakan tarikh sebenar.

Karangkraf sebagai penerbit harian popular itu yang sebelum ini telah menganjurkan 13 siri Wacana Sinar, memutuskan untuk menangguhkan debat, memandangkan suasana dan masa yang tidak beberapa sesuai.

“Beberapa insiden di seluruh negara, khasnya di Kuala Lumpur beberapa hari lalu mewujudkan suasana hangat, jadi kami tidak mahu debat seperti ini yang menemukan tokoh parti bertentangan membangkitkan lagi suasana tidak sihat.

“Sebab itu kami memutuskan supaya wacana ilmu ini ditangguhkan dahulu dan kami memohon maaf kepada orang ramai, khasnya pembaca Sinar Harian yang sejak seminggu lalu telah menempah tempat untuk menyertai debat ini,” katanya.

Menurut Jalil, selain kedua pendebat, Dr Maszlee Malik yang sepatutnya menjadi moderator pada majlis di Kompleks Belia dan Kebudayaan Negeri Selangor, juga telah diberitahu mengenai penangguhan ini.

Pengumuman mengenai tarikh baru dan tempat bagi debat ini akan dibuat dalam akhbar Sinar Harian

Tiada ulasan: