Ahad, 27 Mei 2012

Semua calon layak jadi MB Kedah, kata ketua Umno

SINAR HARIAN

Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah
 
Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah Datuk Paduka Ahmad Bashah Md Hanipah.
 
 
ALOR SETAR -  Semua calon Umno yang memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) layak menjadi Menteri Besar, kata Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah Datuk Paduka Ahmad Bashah Md Hanipah.
  
Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Bakar Bata itu berkata calon Menteri Besar akan ditentukan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak setelah Barisan Nasional (BN) berjaya merampas kembali Kedah.
  
"Yang penting sekarang ialah fokus dan bekerja keras untuk menang...lepas itu kita lihat siapa lebih layak (jadi Menteri Besar)," katanya kepada pemberita selepas merasmikan kursus ketua unit PRU13 Parlimen Alor Setar di sini hari ini.
  
Ahmad Bashah berkata, spekulasi bahawa timbalannya Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir bakal menjadi Menteri Besar Kedah dan akan bertanding kerusi DUN pada PRU13 sengaja ditimbulkan oleh pihak luar bertujuan memecah-belahkan Umno negeri.
  
"Umno tidak perlu tonjolkan sesiapa untuk jadi Menteri Besar kerana calon yang bakal bertanding pun tidak dihebohkan," katanya sambil meminta semua media elektronik, cetak termasuk blog segera menghentikan spekulasi tersebut. – Bernama

Tiada ulasan: