Isnin, 28 Mei 2012

Mangsa keganasan di Pantai Dalam dilastik bebola besi

Oleh: Sidiqin Omar

PANTAI DALAM: Mangsa keganasan samseng Umno, Raja Ismail Raja Din yang berdarah kepala semasa ceramah Pakatan Rakyat, di Pantai Dalam  24 Mei lalu, mendakwa dilastik dengan bebola besi (ball bearing).

Menceritakan semula kejadian di pangsapuri Pantai Permai itu, Raja Ismail memberitahu, kira-kira jam 11 malam, bekalan elektrik yang disambung ke tapak ceramah dipotong.

“Dalam gelap itu tiba-tiba saya rasa ada sesuatu yang berat dan keras kena di kepala. Saya terasa sakit. Bila dikesat, nampak darah.

“Orang kata saya dilastik dengan ‘ball bearing’ dari tingkat atas Flat. Saya berlari ke arah pentas dan pengsan. Hanya sedar ketika di Hospital Kuala Lumpur (HKL),” jelas Raja Ismail yang kehilangan banyak darah akibat luka di dahi.

“Bukan sahaja ‘ball bearing’, tapi telur tembelang dan batu dibaling ke kawasan ceramah,” katanya yang dibenarkan keluar pada jam 2 pagi, selepas mendapat rawatan di HKL.



Bagaimanapun, pesara Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) berusia 60 tahun ini berkata, beliau tidak serik untuk datang ke ceramah Pakatan Rakyat pada masa akan datang.

Ini kerana katanya, hanya melalui program ceramah sahaja rakyat dapat mendengar maklumat alternatif.

“Saya takkan serik untuk datang ke ceramah. Kalau himpunan Bersih 3.0 pun saya turun, takkanlah ceramah kita tak pergi?, ujarnya.

Raja Ismail turut kecewa dengan polis yang ‘membutakan mata’ terhadap keganasan samseng upahan Umno, sedangkan perkara itu berlaku di depan mereka sendiri.

“Bertahun-tahun saya pergi ceramah. Tak pernah jadi macam ini. Polis buat apa? Kalau ‘geng’ dia buat kacau, dibiarkan. Ini tak boleh.

“Malu saya tengok budak-budak muda Melayu terima upah rendah semata-mata nak ganggu majlis orang,” kata Raja Ismail.

Tiada ulasan: