Rabu, 30 Mei 2012

Yayasan Seniman P. Ramlee jaga kebajikan penggiat seni

KOSMO


KUALA LUMPUR — Kerajaan akan mewujudkan Yayasan Seniman P.Ramlee untuk menjaga kebajikan penggiat seni dan membantu mereka menjalankan kegiatan masing-masing, kata Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim.

Beliau berkata apabila seorang penggiat seni sakit, kadangkala tidak ada sesiapa yang menghulurkan bantuan sedangkan lakonan mereka diminati, seperti yang berlaku kepada Allahyarham Tan Sri P.Ramlee.

"Oleh itu, harus kita wujudkan satu kemudahan atas nama seniman agung itu, bagi membolehkan penggiat seni menjalankan kegiatan seni tidak kira sama ada penggubah lagu, pelakon, penyanyi atau mereka yang bergiat dalam seni mempertahankan diri,” katanya ketika merasmikan sambutan Hari Seniman di Astaka Tasik Titiwangsa malam ini.

Rais berkata sebagai permulaan, yayasan itu menerima peruntukan RM1 juta dan daripada jumlah tersebut, RM500,000 adalah sumbangan Yayasan Al-Bukhary manakala bakinya daripada kerajaan.

"Ini hanyalah sebagai pendayung utama (penaja)... kita akan cari pendayung lain dan saya akan cadangkan setiap penyumbang akan dipohon dikecualikan daripada cukai pendapatan,” katanya.

Selain itu, Rais mengumumkan peruntukan RM3 juta bagi penubuhan Kursi P.Ramlee di Pusat Penyelidikan Kecemerlangan dan Kesarjanaan dalam Bidang Artistik, Akademi Seni dan Warisan Negara (Aswara) khusus untuk penyelidikan berkaitan bidang seni serta warisan.

"Aswara akan menyediakan kemudahan akademi dan praktikal bagi mengasah bakat seni dan budaya supaya industri kreatif Malaysia muncul sebagai penjana utama kepada negara,” katanya sambil menambah adalah penting untuk menyemai seni dan budaya di kalangan rakyat bagi mewujudkan tamadun yang membentuk masyarakat berbudi bahasa.

"Sekiranya di sekolah-sekolah, universiti dan maktab kita lupa tentang dunia seni (seperti) tarian, kita akan menjadi bangsa yang kering-kontang tanpa kebolehan untuk menguasai sesuatu yang cantik dan indah.

"(Jika) Kita tidak boleh menikmati keindahan, kita akan jadi manusia kasar, pendemonstrasi, jadi orang yang tidak kenal budi bahasa, tidak cintakan seni, justeru, penting pada semua institusi mendidik kita ke arah seni budaya yang boleh dijelmakan kepada industri kreatif,” katanya.

Pada majlis itu, seramai 42 penggiat seni dan budaya menerima Anugerah Tokoh dalam pelbagai bidang.

Selain itu, tujuh anak seniman yang cemerlang dalam peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menerima sumbangan sebagai galakan untuk terus cemerlang dalam pelajaran. — BERNAMA

Tiada ulasan: