Salah seorang mangsa, Fairuz yang cedera parah
di bahagian limpa membuat pembedahan petang semalam untuk membuang
organ tersebut yang hancur.
PUTRAJAYA: “Limpa Fairuz hancur habis kena buang. Makcik hiba lihat anak kami terlantar kesakitan macam ini. Kami tak mampu nak tanggung segala perubatannya.”
Demikian rintihan ibu salah seorang 17 mangsa yang cedera selepas dilanggar kereta ketika menonton perlumbaan drag yang diadakan sempena Himpunan Jutaan Belia 2012, pada Sabtu lalu.
Hamidah Zainal Abidin, 51, yang bekerja sebagai guru tadika di Rembau hanya mampu menitiskan air mata tatkala ditanya mengenai perkembangan anaknya itu.
Fairuz yang disahkan doktor cedera parah di bahagian limpa membuat pembedahan petang semalam untuk membuang organ tersebut yang hancur.
Menurut Hamidah, beliau dihubungi tunang Fairuz dan memaklumkan kejadian malang yang menimpa anaknya itu.
Fairuz yang dijadualkan akan berkahwin pada Februari tahun depan kini stabil dan mendapat rawatan rapi di wad ICU sejak malam kejadian tersebut.
Anak ketiga daripada empat orang adik-beradik ini bekerja sebagai seorang pemandu dan menurut Hamidah pihak penganjur perlu bertanggungjawab di atas kemalangan yang menimpa anaknya itu.
“Penganjur ada datang tapi tiada jaminan yang diberi. Malah mereka salahkan budak-budak ini kerana duduk dekat dengan kawasan lumba itu, seperti yang saya baca di akhbar.
“Saya dapat tahu anak saya cedera jam 1.00 pagi. Dimaklumkan kejadian berkenaan berlaku jam 11.30 malam. Fairuz datang dengan tujuh rakannya yang lain, malangnya enam jadi mangsa dan sekarang alami kecederaan.
“Penganjur perlu bertanggungjawab atas apa yang berlaku. Budak-budak ini kata tiada pengumuman oleh pihak berkenaan dan tahap keselamatan juga terabai,” katanya kepada FMT.
Pada kejadian tengah malam Sabtu lalu, kereta yang mengambil bahagian dalam acara tersebut hilang kawalan dan terbabas menyebabkan ia melanggar sekumpulan penonton yang dikatakan berada di luar kawasan yang dibenarkan.
Laporan polis oleh mangsa
Sementara itu, seorang lagi mangsa Muhamad Aidil Azman, 19, berkongsi detik-detik cemas itu sehingga menyebabkan beliau tidak dapat berjalan ekoran lutut kanannya mengalami darah beku.
Menurut Muhamad Aidil, beliau yang tiba agak lewat hanya menonton perlumbaan di benteng pokok, malah mendakwa 22 orang turut mengalami kecederaan.
“Saya tak dengar ada sebarang pengumuman oleh penganjur dan saya duduk di benteng pokok. Saya sedar kereta itu datang dan tak sedar apa yang jadi,” katanya.
Dalam pada itu, tiga laporan polis turut dibuat oleh mangsa termasuklah Muhamad Aidil.
Seorang lagi mangsa, Mohd Nor Faiz Sakariah, 24, membuat laporan polis berhubung kehilangan kamera yang didakwa diambil oleh pihak penganjur.
Laporan sama turut dibuat oleh sepupu beliau, Mohd Aidiel Aiezad Ashari, 24 mengenai kehilangan kamera tersebut.
Semua mangsa yang ditemui mendakwa pihak penganjur, Motorsport MUSC gagal membuat pengumuman untuk berundur daripada kawasan berkenaan, malah aspek keselamatan turut dipandang ringan.
Aspek keselamatan terabai
Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar yang turut melawat mangsa awal pagi ini menggesa siasatan menyeluruh dibuat ke atas penganjur kerana gagal menitik beratkan aspek keselamatan.
Ujar beliau, aspek keselamatan tidak boleh dikompromi dan tidak mahu perkara seperti ini berulang pada masa akan datang.
Naib Presiden PKR, N Surendran pula berkata parti menawarkan khidmat guaman kepada para mangsa serta mendakwa penganjur bersalah dari sudut undang-undang kerana gagal mengambil berat aspek keselamatan umum.
Katanya, mangsa tidak patut dipersalahkan dalam hal ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan