Ahmad Lutfi Othman
Ketika
PAS dimomokkan sebagai Parti Islam yang ghairah mengejar kuasa
sehingga melupakan dasar perjuangan sucinya, namun dalam masa sama
berbondong-bondong orang ramai memohon keahlian, termasuk tokoh-tokoh
terkemuka dan selebriti terkenal.Semasa aktivis dan penyokong Pakatan
Rakyat — tidak terkecuali PAS — ditohmah sebagai perusuh dalam
demonstrasi suku juta umat, Bersih 3.0, dengan pelbagai kempen
propaganda, termasuk melalui siaran RTM pada waktu puncak, memaparkan
peserta himpunan “mengganasi pihak keselamatan”, kita dikejutkan dengan
perisytiharan beberapa bekas pegawai kanan polis menyertai Parti Islam.
(Semasa
mengunjungi Miri, lebih sebulan lalu, memenuhi jemputan program
kewartawanan media baru, saya bertemu dengan bekas Timbalan Residen Miri
— jawatan hampir sama dengan Penolong Pegawai Daerah — Johari Bujang,
yang kemudiannya baru-baru ini dilaporkan telah menyertai PAS).
Berita
itu sepatutnya menenggelamkan dakyah bekas Ketua-Ketua Polis Negara —
Hanif Omar, Rahim Noor dan Musa Hassan — yang cuba memalitkan imej
“kotor dan ganas”, juga “berunsurkan komunis” terhadap perhimpunan
menuntut pilihan raya adil dan bersih, 28 April lalu.
Pada 20
Mei lalu, di hadapan lebih 5,000 hadirin, bekas Pengarah Jabatan
Siasatan Jenayah (JSJ), Dato’ Fauzi Shafie (antara segelintir kecil
nama-nama pegawai kanan polis yang diingati ramai), telah menyerahkan
borang keahlian PAS kepada Tuan Guru Abdul Hadi Awang, di Ulu Sepetang,
Larut, Perak.
Menerusi
YouTube, saya agak teruja mendengar muqadimah ucapan Fauzi, yang dikira
mantap dan sarat dengan peringatan agama, sekali gus menggambarkan
sikap dan komitmen padunya terhadap perjuangan Islam yang dibawa PAS.
Beliau seperti mahu memanfaatkan baki usianya untuk mendaulatkan agama
Allah.
Sebelum
itu, di Perak juga, bekas Ketua Polis Daerah (OCPD) Slim River,
Abdullah Omar turut menyertai PAS. Dalam ceramahnya di Dungun, 24
Januari lalu, Abdullah berkata beliau masuk PAS kerana PAS adalah parti
yang sah di sisi undang-undang, berdaftar dengan pendaftar
pertubuhan, dan lebih penting kerana dipimpin tokoh-tokoh yang ingin
membawa negara kepada pemerintahan Islam, tidak sepertimana kebanyakan
pemimpin Umno yang terlibat dengan pelbagai skandal.
Abdullah
seolah-olah menjawab lebih awal siri serangan yang bakal dihadapi
Fauzi. Akhbar Berita Harian, 22 Mei lalu, memilih tajuk utama halaman
lapan, “Veteran polis rasa terguris”, dengan tajuk kecil, “Keputusan
bekas Pengarah JSJ sertai PAS dianggap khianati kerajaan”.
Ia ekoran
reaksi Presiden Persatuan Bekas Polis Malaysia, Shafie Bakri, dengan
penyertaan Fauzi bersama PAS. Shafie berkata, pihaknya terkejut dan
keliru dengan tindakan Fauzi itu.
“Saya pun
tak tahu apa pertimbangan beliau (Fauzi) sedangkan ketika dalam PDRM,
beliau memegang jawatan kanan selain mendapat gaji yang tinggi dan
berpencen. Kini bila bersara, sertai pula pembangkang, agak ganjil
tindakan beliau itu,” kata Shafie, seperti dilaporkan Berita Harian.
Saya
sendiri terkejut bagaimana Berita Harian memilih tajuk kecil “…
dianggap khianati kerajaan” hanya kerana bekas pegawai tertinggi polis
itu menyertai PAS. Usaha “pembodohan massa” (meminjam ungkapan Dr
Siddiq Fadzil ini) dalam suasana rakyat semakin terbuka menilai amalan
demokrasi dan celik politik itu cukup memalukan.
Sebelum ini, akhbar dalam kumpulan yang sama, New Straits Times (NST) telah melabelkan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai “bapa kafir” dan tidak mahu memohon maaf walaupun selepas didesak berbuat demikian.
Segera
saya mengirim SMS kepada Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu minta
respons awal terhadap laporan Berita Harian itu. Tanpa perlu menunggu
lama, Mat Sabu yang banyak menjalin hubungan dengan tokoh-tokoh kenamaan
pesara tinggi kerajaan dan juga bekas pimpinan Umno, membalas: “Inilah
doktrin yang melahirkan kebangangan polis dan bekas polis …tak kenal
antara kerajaan dengan Umno.”
Rakan saya, seorang pegawai polis, turut membalas SMS sama: “Apakah Shafie faham erti dan amalan demokrasi yang sebenarnya?”
Menyedihkan
sekali, jika hal-hal semudah itu, seperti kebebasan untuk memilih
menyertai mana-mana parti politik berdaftar — hatta proaktif untuk
menjatuhkan kerajaan melalui saluran undang-undang — dikaitkan dengan
istilah-istilah yang langsung tidak relevan, misalnya “khianati
kerajaan”.
Mungkin
kalau zaman dahulu (zaman Hanif Omar) akan mudah dilabelkan dengan
“anasir subversif”, malah tidak mustahil dicap “prokomunis”, atau
dikaitkan dengan “aliran Marxisme” (satu istilah yang cukup digemari
Rahim Noor).
Kepada
pertanyaan wartawan Harakahdaily, Fauzi berkata: “Memang kalau ikut
keselesaan, dengan wang pencen dan hasil bulanan dari perniagaan saya
dan keluarga, ia sudah cukup untuk saya. Saya boleh duduk rehat
sahaja. Tapi, semacam ada rasa satu tanggungjawab untuk saya bersama
PAS kini.”
Semasa
menjadi Ketua Polis Dang Wangi, Fauzi terkenal dengan tindakannya
membanteras maksiat di pusat bandaraya Kuala Lumpur. Tindakan beliau
pernah dikecam oleh seorang menteri yang menyifatkan tindakan Fauzi
akan “menghalau pelancong” dari negara ini.
Dalam pada
itu, seorang rakan lama, juga bekas wartawan ekonomi, meminta Harakah
memberi penekanan kepada berita Menteri Penerangan, Komunikasi dan
Kebudayaan, Dr Rais Yatim memperuntukkan RM200,000 kepada semua ahli
veteran Umno dan Mubarak (Majlis Bekas Wakil Rakyat BN) di setiap
negeri dengan menyediakan komputer riba dan latihan pengurusan media
baru, sebagai persiapan menghadapi PRU13.
Sekali
lagi ungkapan paling sesuai untuk Rais, seperti dilafazkan Mohamad
Sabu: “…tak kenal antara kerajaan dan Umno.” Rais yang satu ketika
dahulu prihatin dan komited dengan prinsip-prinsip asas demokrasi, kini
seperti tidak dapat membedakan di antara wang kerajaan yang diperolehi
daripada pembayar cukai dengan dana politik Umno.
Tindakan
Rais itu membuatkan kenyataannya yang lebih penting kurang
diperhatikan, iaitu “kertas kabinet berhubung permintaan mendapatkan
akses sama rata terhadap media bagi parti-parti politik yang mahu
membentangkan manifesto pilihan raya mereka kepada orang ramai” telah
disiapkan.
Kumpulan
Aktivis Media Independen (KAMI) yang saya terajui cukup berminat dengan
isu akses media sama rata sewaktu kempen PRU13, terutama membabitkan
media yang dibiayai dana awam, seperti RTM dan Bernama. Sewaktu
konvensyen KAMI, 12 Mei lalu, seperti disaran V Anbalagan, Setiausaha
Agung NUJ, telah dirumuskan bahawa satu badan khas yang bebas perlu
ditubuhkan bagi memantau perjalanan media berkenaan.
Bagaimanapun
saya curiga kemampuan Rais untuk bertindak adil dalam menyiapkan
kertas kabinet, terutama untuk menyambut saranan SPR agar diberikan
airtime berkempen, yang munasabah untuk semua parti bertanding dalam
PRU13 nanti.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan