Selasa, 29 Mei 2012

Shabery: Penangguhan ceramah Ustaz Idrus tiada kaitan dengan konsert K-Pop

SINAR HARIAN
 
TANJUNG MALIM - Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek menafikan dakwaan kononnya penangguhan majlis ceramah oleh penceramah motivasi Ustaz Azhar Idrus yang sepatutnya berlangsung pada 26 Mei lepas di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) disebabkan konsert K-Pop.

Sebaliknya, beliau berkata penangguhan itu berkaitan dengan masalah trafik kerana kedua-dua program terbabit berlangsung pada hari yang sama dan memerlukan komponen tambahan dalam menguruskan perjalanan trafik.

"Kementerian saya tidak ada kena mengena dengan soal ini (pembatalan ceramah) dan bukan disebabkan konsert ini. Ia di bawah kawalan pihak pengurusan PICC yang merasakan masalah trafik menjadi punca (pembatalan ceramah) dan perlu ditangguhkan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada Bernama selepas merasmikan Seminar Hasil Penyelidikan Siri ke-5 bertemakan 'Inovasi Penyelidikan Sukan' di Universiti Pendidikan Sultan Idris di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai dakwaan pembangkang dalam laman portal bahawa penangguhan ceramah tersebut dibuat kerana serentak dengan konsert K-Pop sempena Himpunan Jutaan Belia 2012 dan dibimbangi konsert itu tidak mendapat sambutan hangat apabila bersaing dengan majlis ceramah berkenaan.

Mengenai ketiadaan sambutan pada himpunan itu sekiranya ceramah itu juga berlangsung, Ahmad Shabery memberi contoh pada hari tersebut, himpunan belia turut diadakan di Shah Alam, namun malangnya tidak mendapat sambutan hangat.

"Pada himpunan belia di Shah Alam (penganjurnya) mengharapkan belia akan pergi ke sana. Difahamkan pemimpin besar mereka yang sepatutnya merasmikan himpunan itu tidak hadir dan akhirnya hanya 150 orang saja yang datang nak dibandingkan himpunan di Putrajaya lebih ramai lagi," katanya.

Sementara itu, ketika berucap, Shabery berkata sambutan himpunan itu amat memberangsangkan terutama kepada para peniaga kerana kebanyakan daripada mereka memperoleh keuntungan sehingga mampu menampung kos sewa gerai.

"Lebih 2,000 peniaga mengambil bahagian... ketika saya membuat tinjauan di gerai sukan yang menjual kasut, t-shirt dan sebagainya mendapati keuntungan pada hari ketiga jualan, mereka (peniaga) mampu membayar sewa kedai untuk hari pertama.

"Peniaga boleh menjual 12,000 (barang) dalam sehari. Saya percaya pada hari terakhir sudah tentu dapat meningkat daripada 18,000 hingga 20,000 jualan," katanya.

Beliau berkata ini bermakna aspek sukan perlu dilihat dari segi industri yang sebelum ini hanya dilihat dari perspektif tradisional.

"Tradisionalnya macam mana untuk mendapatkan pingat supaya kita menang, menaikkan bendera atau menyanyikan lagu. Itu aspek patriotisme yang saya rasa semua tahu bahawa kita mesti menang kerana setiap kali kemenangan akan melahirkan semangat patriotisme yang tinggi di kalangan rakyat," jelas Ahmad Shabery.- Bernama

Tiada ulasan: