Ceramah politik;
saya kira, walaupun dengan kepesatan teknologi maklumat, hinggakan
setiap perkara dan maklumat yang baru sahaja berlaku tidak kurang lima
minit pun sudah diketahui dan disebar luas melalui media-media baru; ia
(ceramah politik) masih lagi menjadi medium pilihan utama penyebaran
maklumat terutama sekali maklumat yang tidak dapat disebarkan melalui
media arus perdana. Hinggakan pada satu tahap, pihak kerajaan sendiri
misalnya; walaupun mempunyai kekuatan dan akses penuh terhadap media
cetak, televisyen, radio, dan pelbagai jenis media lain, terpaksa juga
akhirnya turun ke kawasan-kawasan penduduk untuk turut berceramah.
Begitulah hebatnya penangan ceramah politik. Pada hemat saya, ceramah
politik hari ini sudah sepatutnya ditabalkan oleh Kementerian Kebudayaan
sebagai satu lagi aktiviti kebudayaan rakyat di Negara ini.
Saya
sendiri, setiap hari akan bangun dari tidur dengan begitu banyak
panggilan-panggilan telefon yang tidak berjawab, ditambah pula dengan
pesanan-pesanan ringkas yang tidak berbalas. Kebanyakannya adalah
panggilan dan pesanan dari ramai pihak-pihak yang ingin menjemput saya
untuk berceramah di tempat masing-masing. Saya punya masalah dalam
membahagikan sebaik mungkin masa saya untuk memenuhi jemputan-jemputan
tersebut. Kadangkala, saya terpaksa menolak jemputan-jemputan yang
bertembung pula dengan program-program berkaitan dengan kerja-kerja
gerakan pelajar. Itulah yang menjadi dilema saya hampir setiap hari.
Kerja dan tanggungjawab bersama gerakan banyak, namun jemputan-jemputan
ini pula tidak sampai hati untuk ditolak kerana kebanyakan yang
menjemput ini datang dari ceruk-ceruk kampung dan kadangkala, sampai
merajuk apabila tidak dapat dipenuhi.
Namun akhir-akhir ini, saya kerap pula menerima panggilan dan pesanan yang bukan untuk menjemput ke ceramah, sebaliknya memaklumkan apa yang berlaku dalam ceramah-ceramah yang tidak dihadiri saya. Selepas memeriksa pesanan-pesanan ini, saya akan segera mencapai papan kekunci dan melayari portal-portal berita internet. Benar, sejak akhir-akhir ini, sudah menjadi berita wajib yang mengisi ruang-ruang utama iaitu kekacauan, kekecohan, dan pelbagai insiden-insiden buruk yang berlaku di kawasan-kawasan yang berlangsungnya ceramah-ceramah politik.
Saban hari, saya membaca berita-berita yang melaporkan politisi A dipukul, politisi B dipecahkan keretanya, parti C menghantar samseng untuk membuat kacau, penyokong D cedera ketika ceramah berlangsung, dan sebagainya. Ini satu kerisauan buat saya.
Saya
masih ingat, suatu masa dahulu, walaupun saya membesar dan menetap di
Kuala Lumpur, pada hari-hari tertentu, terutama sekali bila menjelang
pilihan raya, pasti saya berpeluang untuk menghadiri majlis-majlis
ceramah yang berlangsung di pinggir bandar. Jika pulang ke kampung di
Pulau Pinang juga, kerap kali saya diajak oleh saudara-mara untuk
mendengar ceramah politik di kawasan berhampiran kampung. Saya juga
masih ingat, suatu masa dahulu, ceramah politik adalah tempat untuk
bukan sahaja mendengar ucapan-ucapan ahli politik, sebaliknya juga
seakan satu pesta masyarakat. Saya pasti sekali akan mengambil peluang
untuk menjamah mihun sup, mengunyah kacang rebus, membelek-belek kaset
ceramah oleh penceramah yang saya sendiri tidak berapa kenal, mencuri
baca buku-buku politik dan agama, serta banyak lagi. Di tapak-tapak
ceramah ini jugalah tempatnya untuk saya menghiburkan diri saya
mendengar jenaka-jenaka kasar dari penceramah-penceramah yang sedang
cuba mengajak orang ramai untuk menyokong mereka. Erti kata lain,
ceramah politik suatu masa dahulu, menurut memori saya adalah pesta
masyarakat yang seronok untuk dihadiri. Bukan seperti hari ini.
Hari
ini, pentas ceramah bukan lagi tempat untuk masyarakat berkumpul,
duduk, dan mendengar ucapan-ucapan untuk mendapatkan maklumat dan
sedikit hiburan. Hari ini, pentas ceramah bukan lagi tempat untuk ibu
bapa mendidik anak-anak mereka tentang politik semasa. Hari ini, pentas
ceramah bukan lagi pesta masyarakat. Hari ini, pentas ceramah
hampir-hampir sudah bertukar menjadi seperti medan perang. Bukan lagi
perkara asing untuk melihat dua pihak berlainan memacak pentas
masing-masing. Yang di kanan melolong, yang di kiri memekik. Penyokong
kedua-dua pihak pula terpaksa berselisih bahu dalam keadaan yang tidak
menyelesakan. Pergaduhan, kekasaran, dan seribu satu bentuk reaksi
agresif boleh tercetus bila-bila masa sahaja. Seperti yang saya katakan
tadi, pentas ceramah sudah bertukar menjadi medan perang. Jika tidak
berlaku pertembungan pentas ceramah sekalipun, pasti ada pula pihak yang
datang dengan muka bengis dan berpeluh-peluh, cuba untuk mencetuskan
pergeleseran. Objek-objek berterbangan, rantaian manusia,
sepanduk-sepanduk bantahan, dan sebagainya bukan lagi pemandangan asing
dalam pentas ceramah hari ini.
Saya sendiri juga pernah mengalami beberapa situasi pertembungan dan kekecohan ketika memenuhi jemputan ceramah di beberapa kawasan panas termasuklah kampung halaman sendiri. Dibaling cat, dikepung sekumpulan samseng, dimaki oleh individu-individu yang menyelinap ke dalam orang ramai, dikuatkan pembesar suara dari tempat lain, dibakar poster dan kain rentang, serta banyak lagi. Pernah rakan-rakan mahasiswa yang lain seperti Khalid dan Ekhsan diserang oleh segerombolan manusia ketika mereka sedang berceramah, contohnya di Klang beberapa bulan lalu. Pernah juga pentas mahasiswa ini dirobohkan! Insiden-insiden sebeginilah yang saban hari menjadi tajuk-tajuk berita yang terpaksa kita baca hari ini. Pentas ceramah tidak lagi seronok dan menghiburkan seperti dahulu.
Apabila
setiap hari membaca berita-berita insiden di program ceramah politik,
saya tertanya-tanya: bagaimana akhirnya semua ini akan berakhir? Adakah
akhirnya, bila saban hari program-program sebegini mendatangkan
kecederaan, kekecohan dan kekacauan dalam kalangan masyarakat, budaya
ceramah juga bakal diharamkan seperti yang berlaku terhadap budaya
protes dan demonstrasi hari ini? Adakah ini sebenarnya tujuan besar
kekacauan dicetuskan ketika program ceramah? Adakah ini adalah suatu
rancangan untuk memburukkan "imej" program ceramah, dan akhirnya boleh
mengolah persetujuan masyarakat bahawa budaya ceramah perlu dihentikan
kerana hanya akan menimbulkan kekacauan? Jujurnya, saya tidak pernah
nampak sebarang kebaikan dari segenap provokasi dan keganasan yang
berlaku di setiap program ceramah. Jelas dan terang, setiap kali
berlakunya kekacauan, pasti sahaja orang akan menuding jari terhadap
parti yang menjadi lawan kepada penganjur. Membenarkan keganasan dan
kekasaran berlaku dalam kalangan penyokong mereka pasti sekali
memburukkan imej parti, jadi kenapa masih lagi dibiarkan ia untuk terus
berlaku? Tidak mungkin penyokong-penyokong mereka ini bertindak
sedemikian rupa tanpa menerima arahan sesiapa. Saya tidak nampak
kemungkinan dan kebaikan lain, selain dari apa yang saya cadangkan tadi;
hanya untuk menunjukkan bahawa seperti demonstrasi, ceramah juga
menimbulkan kekecohan, maka ia perlu diharamkan. Jika inilah niatnya,
saya hanya mampu tepuk dahi melihat betapa terdesaknya orang-orang
politik ini cuba untuk membantutkan pihak lawan mereka, dalam keadaan
mereka yang sebenarnya mempunyai kelebihan media.
Berpolitiklah
dengan matang. Setiap apa yang berlaku, setiap insiden yang terjadi,
setiap kekecohan yang timbul; masyarakat sedang menilai peri laku kita
sendiri. Saya tidak mampu untuk menggambarkan kejelikan dan kebingungan
saya setiap kali mendengar dan membaca berita-berita kekecohan dan
serangan di tapak ceramah. Sebagai orang yang gemar mendengar ceramah
sejak kecil, dan juga kerap pula memberi ceramah hari ini, saya rindukan
suasana ceramah seperti dahulu. Saya masih rindukan suasana
riuh-rendah orang ramai yang bergelak-tawa mendengar jenaka,
tawar-menawar ketika berniaga, bergurau-senda dengan rakan-rakan lama,
ibu bapa yang terpaksa melayan kerenah anak-anak kecil, pengumuman alih
kenderaan, bunyi bising generator gerai pacak, dan bisik-bisik penyokong
parti lawan yang mendengar secara sorok-sorok di belakang pokok. Saya
tidak ingat sejak bila pentas ceramah menjadi zon perang. Cukuplah
dengan perang bendera dan surat-surat layang, tidak perlulah kita raikan
budaya samseng dan tidak bertamadun seperti yang sedang terjadi hari
ini.
Akhirnya, bila melihat kegilaan yang sedang menjadi-jadi ini, saya hanya mampu teringat kembali bait-bait Ronggowarsito; jaman edan!
Namun akhir-akhir ini, saya kerap pula menerima panggilan dan pesanan yang bukan untuk menjemput ke ceramah, sebaliknya memaklumkan apa yang berlaku dalam ceramah-ceramah yang tidak dihadiri saya. Selepas memeriksa pesanan-pesanan ini, saya akan segera mencapai papan kekunci dan melayari portal-portal berita internet. Benar, sejak akhir-akhir ini, sudah menjadi berita wajib yang mengisi ruang-ruang utama iaitu kekacauan, kekecohan, dan pelbagai insiden-insiden buruk yang berlaku di kawasan-kawasan yang berlangsungnya ceramah-ceramah politik.
Saban hari, saya membaca berita-berita yang melaporkan politisi A dipukul, politisi B dipecahkan keretanya, parti C menghantar samseng untuk membuat kacau, penyokong D cedera ketika ceramah berlangsung, dan sebagainya. Ini satu kerisauan buat saya.
Saya sendiri juga pernah mengalami beberapa situasi pertembungan dan kekecohan ketika memenuhi jemputan ceramah di beberapa kawasan panas termasuklah kampung halaman sendiri. Dibaling cat, dikepung sekumpulan samseng, dimaki oleh individu-individu yang menyelinap ke dalam orang ramai, dikuatkan pembesar suara dari tempat lain, dibakar poster dan kain rentang, serta banyak lagi. Pernah rakan-rakan mahasiswa yang lain seperti Khalid dan Ekhsan diserang oleh segerombolan manusia ketika mereka sedang berceramah, contohnya di Klang beberapa bulan lalu. Pernah juga pentas mahasiswa ini dirobohkan! Insiden-insiden sebeginilah yang saban hari menjadi tajuk-tajuk berita yang terpaksa kita baca hari ini. Pentas ceramah tidak lagi seronok dan menghiburkan seperti dahulu.
Akhirnya, bila melihat kegilaan yang sedang menjadi-jadi ini, saya hanya mampu teringat kembali bait-bait Ronggowarsito; jaman edan!
*Adam Adli ialah aktivis
mahasiswa, bergiat aktif dalam pertubuhan Legasi Mahasiswa Progresif
(LMP) dan kini Bendahari Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan