SINAR HARIAN
ALOR SETAR - Polis akan mengambil tindakan terhadap mana-mana kumpulan atau individu yang mencetuskan kekacauan sepanjang berlangsungnya 'Himpunan Hijau Ke Putrajaya' anjuran PAS di Stadium Darul Aman di sini esok.
Timbalan Ketua Polis Kedah Datuk Abdul Ghafar Rejab berkata pihaknya akan menghalang sebarang demontrasi oleh pihak lain di tempat sama bagi mengelak berlaku pergaduhan akibat provokasi itu.
Beliau berkata setakat ini hasil risikan pihaknya mendapati tidak ada mana-mana pihak atau individu yang merancang melakukan provokasi terhadap himpunan tersebut.
Katanya pada masa sama pihaknya akan menempatkan 550 anggota polis yang akan mengawal ketenteraman awam, keselamatan, trafik dan jenayah di sekitar stadium yang bakal disertai 30,000 hingga 40,000 anggota dan penyokong PAS.
"Kita juga telah bentuk satu pasukan untuk memantau di sekitar kawasan stadium tersebut daripada berlaku kejadian yang tidak diingini seperti letupan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah di sini hari ini.
Abdul Ghafar berkata pihaknya menjangkakan tiga jalan utama iaitu Jalan Tun Razak, Jalan Stadium dan Lebuhraya Darul Aman akan sesak dan akan menempatkan anggota trafik untuk mengawal lalu lintas di kawasan tersebut bagi memudahkan mereka ke stadium.
Beliau turut menasihatkan orang ramai yang akan berkunjung ke pusat bandar agar mengambil jalan alternatif lain bagi mengelak terperangkap dalam kesesakan trafik di tiga jalan tersebut.
"Bagi mereka yang datang dengan bas, mereka boleh menurunkan penumpang di sekitar stadium dan meletakkan bas di Kompleks Pendidikan Negeri, Dataran Masjid Zahir, Stadium Sultan Abdul Halim, Wisma Darul Aman dan Taman Jubli Emas.
"Kita turut menempatkan anggota trafik di Pekan Rabu kerana orang ramai dan peserta himpunan tersebut mungkin akan berkunjung di situ," katanya.
Himpunan Hijau itu akan bermula 9 pagi esok di Kompleks PAS negeri, Kota Sarang Semut dekat sini manakala pukul 4.30 petang hingga 12 tengah malam pula akan berlangsung di Stadium Darul Aman.
Pada perhimpunan itu Mursyidul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak dan beberapa pemimpin parti itu turut hadir. -- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan