Khamis, 3 Mei 2012

Shamsubahrin lepas tanpa bebas tuduhan tipu RM13,000

SINAR HARIAN

Ahli perniagaan hadapi tuduhan menipu Pengarah NFC


SHAH ALAM - Mahkamah Majistret di sini hari ini melepas tanpa membebaskan ahli perniagaan Datuk Shamsubahrin Ismail daripada tuduhan menipu seorang wanita untuk membekalkan dua pembantu rumah dengan bayaran RM13,000 pada Julai tahun lepas.

Majistret Nurul Syahida Zainal memutuskan sedemikian selepas Timbalan Pendakwa Raya Noor Husnita Mohd Radzi memaklumkan bahawa beliau mendapat arahan untuk menarik balik pertuduhan terhadap Shamsubahrin, 46.

Ahli perniagaan itu didakwa memperdaya Aina Noridar Abdullah, 45, bahawa pembantu-pembantu rumah yang dijanjikan itu benar-benar wujud sehingga menyebabkan wanita itu kerugian RM13,000 yang telah dimasukkan ke dalam akaunnya.

Shamsubahrin didakwa melakukan kesalahan itu di Maybank cawangan Persiaran Perbandaran Seksyen 14 di sini, pada 28 Julai 2011 dan didakwa mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan. 

Ini merupakan kali kedua beliau dilepas tanpa dibebaskan daripada tuduhan tipu. 
 
Pada 12 April lepas, beliau dilepas tanpa dibebaskan oleh Mahkamah Majistret Klang daripada tuduhan menipu seorang pemandu teksi selepas pihak pendakwaan menarik balik pertuduhan ke atasnya.

Shamsubahrin turut menghadapi dua pertuduhan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur iaitu menipu pengarah syarikat National Feedlot Corporation Datuk Dr Mohamad Salleh Ismail, membabitkan jumlah RM1.755 juta.

Kes itu akan disebut semula pada 21 Mei ini. - Bernama

Tiada ulasan: