Hafiz Yatim
Presiden Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA) Datuk Zaid Ibrahim sedia untuk disiasat oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS) berhubung penyelewengan dalam parti itu seperti yang didakwa oleh sesetengah ahli yang tidak puas hati.
Beliau juga mencabar mereka yang tidak berpuas hati untuk mengadakan mesyuarat agung luar biasa (EGM) parti jika yakin mereka mempunyai bilangan yang mencukupi bagi menggulingkannya.
"Jika mereka boleh dapat sokongan 51 peratus ahli untuk mengadakan EGM itu, sila teruskan. Kita, tidak seperti perlembagaan parti lain yang memerlukan 75 peratus sokongan untuk mengadakan EGM, kita demokrasi.
"Saya tidak mahu memimpin parti itu selama-lamanya dan jika mereka mempunyai bilangan mencukupi, mereka boleh minta untuk adakan EGM."
Zaid, yang merupakan bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri, turut menafikan bahawa masa depan parti itu bergantung kepada ahli-ahli yang tidak puas hati yang telah membawa aduan mereka kepada ROS.
"Tidak betul bagi akhbar The Star menggunakan tajuk berita seumpama itu. Setiap tindakan yang dilakukan berdasarkan kepada perlembagaan parti dan jika mereka mahu membuat aduan, itu adalah hak mereka. Tetapi adalah tidak betul untuk mencadangkan masa depan KITA di tangan mereka.
"Kami bersedia untuk disiasat jika diminta berbuat demikian oleh ROS."
Zaid berkata demikian pada sidang akhbar yang dihadiri kebanyakannya oleh pemimpin-pemimpin negeri KITA bagi menunjukkan sokongan mereka.
Beliau meminta pihak media supaya tidak mempercayai apa yang dibaca mereka di laman Twitter dan Facebook mengenai parti itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan