Selasa, 6 September 2011

Siswa anggap kenyataan Mat Sabu isu kecil

MALAYSIA KINI


Perkumpulan mahasiswa menganggap isu sekitar kontroversi ucapan Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu yang dikatakan pro-komunis sebagai isu kecil berbanding perbahasan berkaitan sejarah Malaysia sendiri.

"Bagi mahasiswa, kenyataan Mat Sabu merupakan isu yang sangat kecil berbanding isu sejarah Malaysia yang selama ini penuh misteri dengan fakta-fakta yang sama ada tersembunyi atau disembunyi," kata Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) Ahmad Syukri Ab Razab.

bukit kepong the movie 060905 jins shamsuddin with bren gunEnggan mengulas kenyataan Mohamad secara langsung, Ahmad Syukri berkata pelbagai pihak berhak mengeluarkan pandangan selagi disokong fakta dan tidak berbaur fitnah.

Bagaimanapun, tambah Ahmad Syukri, kenyataan Mohamad secara tidak langsung membangkitkan semula perbincangan mengenai sejarah Malaysia yang kurang diberi perhatian akibat kekalutan politik akhir-akhir ini.

"Mat Sabu bukan satu-satunya tokoh yang mempersoalkan mengenai keabsahan penceritaan sejarah secara formal dalam silibus pendidikan Malaysia, namum sebelum ini ramai lagi tokoh yang telah menghuraikan mengenai kekurangan fakta yang terdapat dalam sejarah kemerdekaan negara," katanya.

psm indepence forum 300807 fahmi rezaAhmad Syukri berkata, terdapat beberapa versi lain berhubung sejarah prakemerdekaan yang seperti dalam filem 10 Tahun Sebelum Merdeka karya Fahmi Reza (kanan) dan kajian pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

"Mahasiswa beranggapan perkembangan semasa ini amat sihat bagi menghasilkan rakyat yang lebih peka sejarah sekali gus mengenali Malaysia dalam erti kata yang sebenar.

"Tidak ada sebab untuk kerajaan berasa khuatir dengan perkembangan semasa ini sekiranya kerajaan benar-benar jujur dengan sejarah yang selama ini dihidangkan kepada rakyat," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad Syukri berkata, bagi menyemarakkan perbincangan sejarah bersempena sambutan ke-54 kemerdekaan, SMM akan menganjurkan forum membincangkan
perjalanan kemerdekaan berdasarkan sudut pandangan berbeza pada 16 September ini.

Katanya, forum berjudul "Di Sebalik Tabir Kemerdekaan" akan menyentuh idea Perlembagaan Rakyat - cadangan perlembagaan alternatif yang pernah menjadi usul penting Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM).

Tiada ulasan: