Aidila Razak
PKR hari ini mencabar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk mengambil langkah berani dengan mengumumkan tarikh penguatkuasaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST).
Menurut ketua strategi parti itu, Rafizi Ramli (kanan), tindakan itu sebagai usaha menjadikan pilihan raya umum datang sebagai satu referendum atau pungutan suara mengenai cukai baru berkenaan dan ia selaras dengan amalan global.
"Isu berkenaan dijadikan isu pilihan raya utama di kebanyakan negara yang melaksanakan GST, dan keputusan pilihan raya adalah hasil referendum sama ada rakyat bersetuju dengan pelaksanaannya," katanya di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya pagi ini.
Menurut Rafizi, mandat yang mantap diperlukan kerana cukai seumpama itu membabitkan semua rakyat Malaysia, termasuk mereka yang sebelum ini tidak dikenakan sebarang cukai.
"Rakyat berhak mendapatkan pengesahan dari PM? Jika mereka undi BN pada pilihan raya umum akan datang adakah ia juga bermakna mereka mengundi bagi cukai yang baru?" soalnya.
Najib awal bulan ini berkata GST mungkin dilaksanakan selepas pilihan raya umum kerana kerajaan memerlukan masa untuk menyakinkan rakyat supaya menyokong kaedah baru pencukaian berkenaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan