PUTRAJAYA – Barisan Nasional (BN) akan mengesahkan wakilnya yang bakal menganggotai jawatankuasa pilihan khas, yang akan membincangkan pembaharuan pilihan raya, pada satu mesyuarat yang akan dipengerusikan oleh Timbalan Pengerusinya Tan Sri Muhyiddin Yassin, esok.
Jawatankuasa itu akan diketuai oleh seorang menteri dengan empat wakil dari BN, tiga mewakili Pakatan Rakyat dan seorang wakil Bebas.
“Esok, timbalan perdana menteri akan memanggil satu mesyuarat di pejabatnya. Keputusan akan dibuat pada mesyuarat itu,” kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz hari ini.
Nazri mengulangi sama ada pembangkang mahu menyertai ataupun sebaliknya jawatankuasa itu akan dibentuk sebagaimana diumumkan bulan lalu.
Nazri berkata, wakil BN yang dipilih akan mewakili kedua-dua Semenanjung dan Malaysia Timur serta pelbagai kumpulan kaum.
Kata beliau, nama-nama itu akan dikemukakan kepada Speaker Dewan Rakyat.
“Saya andaikan pembangkang akan menamakan wakil mereka dari DAP, PKR dan PAS,” kata beliau.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan