Khamis, 15 September 2011

Pakatan Rakyat desak Najib serahkan jawatan Menteri Kewangan

Pakatan Rakyat


Jawatankuasa Bajet Alternatif Pakatan Rakyat di dalam mesyuaratnya pada 15 September, 2011 telah memutus dan mengambil ketetapan bahawa:

a) Langkah kerajaan BN untuk mengiktiraf 16 September sebagai Hari Malaysia esok (itupun hanya selepas 48 tahun ianya berlaku!) adalah kerana tekanan bertalu-talu dari berbagai kalangan rakyat Malaysia sendiri sesudah Pilihanraya 2008.

Pakatan Rakyat memberi jaminan tidak berbelah-bagi untuk menghormati serta mengangkat martabat Negeri-negeri di dalam Persekutuan Malaysia melalui Desentralisasi Fiskal seperti yang terkandung di dalam Buku Jingga (halaman 31), sebagai contoh, menjamin royalti sebanyak 20% daripada hasil petroleum kepada kerajaan negeri dengan matlamat membasmi kemiskinan di kalangan rakyat.

b) Sebagai memperingati hari ulangtahun Najib Razak mengambil-alih jawatan Menteri Kewangan dari Abdullah Ahmad Badawi tiga tahun tahun lalu. Untuk makluman awam, pada 17 September 2008, Najib telah menemui PM ketika itu untuk memberi tekanan lanjut kepada Abdullah untuk menyerahkan portfolio Kementerian Kewangan tersebut kepadanya.

Pakatan Rakyat ingin memperingati peristiwa tersebut kerana sepanjang tiga tahun kebelakangan ini semenjak Najib (gambar kanan) mengambil-alih jawatan tersebut:

i) Kementerian Kewangan di bawah pimpinan beliau telah tidak berjaya untuk melaksanakan agenda reformasi mengangkat keluar ekonomi Negara dari perangkap negara berpendapatan pertengahan iaitu Model Ekonomi Baru yang dicanang-canangkannya.

ii) Menteri Kewangan juga kerapkali berdolak-dalik di dalam membuat keputusannya yang mengakibatkan kerugian berpuluh-puluh juta ringgit seperti kegagalan polisi penggunaan teknologi nano untuk melabel minyak. Yang terakhir sekali, cukai 6% untuk telefon prabayar.

Ketidakseimbangan ekonomi juga semakin meruncing disebabkan tahap gaji pekerja yang tidak meningkat dan kadar inflasi yang semakin tinggi.

Pakatan Rakyat juga turut sedia maklum bahawa Najib ketika ini sedang bergelut keseorangan mempertahan kedudukannya di dalam kabinet dan juga UMNO.

Sekiranya kita menggunakan analogi korporat, tidak akan berlaku seseorang Ketua Pegawai Eksekutif tersebut menjadi Ketua Pegawai Kewangannya juga. Oleh yang demikian, untuk seseorang PM turut juga menjadi Menteri Kewangan adalah sesuatu yang amat janggal dimana-mana negara pun di dunia dan menyimpang jauh dari prinsip tadbir urus yang baik .

Oleh yang demikian, di dalam semangat menghormati Hari Malaysia ini, Pakatan Rakyat dengan ini menyarankan agar Najib mengambil sendiri nasihat yang diberikannya kepada Abdullah Badawi dahulu dan melantik seorang penyokong yang masih dipercayainya untuk mengambil-alih jawatan Menteri Kewangan tersebut sebelum keadaan ekonomi kita merudum lebih jauh.

*Kenyataan media dari sekretariat Pakatan Rakyat, oleh wakil parti termasuk Dzulkefly Ahmad (selaku Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Islam SeMalaysia merangkap Pengerusi Jawatankuasa Bajet Alternatif PR), Liew Chin Tong (selaku Setiausaha Hal-ehwal Antarabangsa Democratic Action Party) dan Sivarasa Rasiah (selaku Ahli Jawatankuasa Majlis Pimpinan Pusat Parti Keadilan Rakyat).

Tiada ulasan: