KUALA LUMPUR – Pakatan Rakyat menasihatkan Datuk Seri Najib Razak melantik orang lain yang boleh dipercayai untuk mengambil alih jawatan Menteri Kewangan bagi mengelakkan keadaan ekonomi merudum “lebih jauh”.
Najib (gambar) selaku Perdana Menteri turut menyandang jawatan Menteri Kewangan.
Kepimpinan Pakatan Rakyat mendakwa ketidakseimbangan ekonomi juga semakin meruncing disebabkan tahap gaji pekerja yang tidak meningkat dan kadar inflasi yang semakin tinggi.
Perikatan tiga komponen itu juga berkata Pakatan Rakyat juga sedia maklum bahawa Najib ketika ini sedang bergelut keseorangan mempertahan kedudukannya dalam Kabinet dan juga Umno.
“Sekiranya kita menggunakan analogi korporat, tidak akan berlaku seseorang ketua pegawai eksekutif menjadi ketua pegawai Kewangannya juga.
“Oleh yang demikian, untuk seseorang Perdana Menteri turut juga menjadi Menteri Kewangan adalah sesuatu yang amat janggal di mana-mana negara pun di dunia dan menyimpang jauh dari prinsip tadbir urus yang baik,” kata kepimpinan Pakatan Rakyat dalam satu kenyataan hari ini.
“Oleh yang demikian, dalam semangat menghormati Hari Malaysia ini, Pakatan Rakyat dengan ini menyarankan agar Datuk Seri Najib mengambil sendiri nasihat yang diberikannya kepada Datuk Seri Abdullah Badawi dahulu dan melantik seorang penyokong yang masih dipercayainya untuk mengambil alih jawatan Menteri Kewangan tersebut sebelum keadaan ekonomi kita merudum lebih jauh,” katanya.
Kenyataan itu dikeluarkan oleh ahli jawatankuasa kerja PAS pusat Dr Dzulkefly Ahmad yang juga pengerusi Jawatankuasa Bajet Alternatif Pakatan Rakyat, Setiausaha, Hal Ehwal Antarabangsa Liew Chin Tong, anggota Majlis Pimpinan Pusat PKR R Sivarasa.
Kata mereka pendirian itu diputuskan pada mesyuarat Jawatankuasa Bajet Alternatif Pakatan Rakyat pada mesyuaratnya hari ini.
Kata mereka, langkah kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk mengiktiraf 16 September sebagai Hari Malaysia esok, selepas 48 tahun, adalah kerana tekanan bertalu-talu daripada pelbagai kalangan rakyat Malaysia sendiri sesudah pilihan raya umum 2008.
Malah kata mereka, Pakatan Rakyat memberi jaminan tidak berbelah-bahagi untuk menghormati serta mengangkat martabat negeri-negeri dalam Persekutuan Malaysia melalui desentralisasi fiskal seperti yang terkandung dalam Buku Jingga, sebagai contoh, menjamin royalti sebanyak 20 peratus daripada hasil petroleum kepada kerajaan negeri dengan matlamat membasmi kemiskinan di kalangan rakyat.
Tambah beliau, keputusan itu sebagai memperingati hari ulang tahun Najib mengambil alih jawatan Menteri Kewangan daripada Abdullah tiga tahun lalu.
“Untuk makluman awam, pada 17 September 2008, Datuk Seri Najib telah menemui perdana menteri ketika itu untuk memberi tekanan lanjut kepada Abdullah untuk menyerahkan portfolio Kementerian Kewangan kepadanya.
“Pakatan Rakyat ingin memperingati peristiwa tersebut kerana sepanjang tiga tahun kebelakangan ini semenjak Najib mengambilalih jawatan tersebut, Kementerian Kewangan di bawah pimpinan beliau telah tidak berjaya untuk melaksanakan agenda reformasi mengangkat keluar ekonomi negara dari perangkap negara berpendapatan pertengahan iaitu Model Baru Ekonomi yang dicanang-canangkannya,” kata kenyataan itu lagi.
Selain itu, kata mereka, Menteri Kewangan juga kerapkali berdolak-dalik dalam membuat keputusannya yang mengakibatkan kerugian berpuluh-puluh juta ringgit seperti kegagalan polisi penggunaan teknologi nano untuk melabel minyak.
“Yang terakhir sekali, cukai enam peratus untuk telefon prabayar,” katanya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan