Jumaat, 16 September 2011

Najib "tunduk" tuntutan Buku Jingga

Nazri Abdullah


KUALA LUMPUR: Biarpun pengumuman perdana menteri malam ini dialu-alukan, namun hakikatnya ia adalah menciplak janji Pakatan Rakyat seperti dimuatkan dalam Buku Jingga, kata Ketua Penerangan PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Malah katanya, tawaran perubahan Pakatan Rakyat lebih luas berbanding beberapa perubahan yang telah diumum Datuk Seri Najib malam ini.

"Perjuangan kita menentang akta zalim ini sudah lama dahulu, cuma Umno BN ni lambat faham.

"Apa yang saya boleh kata, akhirnya BN tunduk dengan tuntutan kita dalam Buku Jingga," katanya yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang.

Beliau mengulas perutusan khas Hari Malaysia perdana menteri malam ini yang mengumumkan keputusan kerajaan memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Selain memansuhkan ISA, katanya, kerajaan juga akan memansuhkan Akta Buang Negeri 1959 di samping mengkaji semula beberapa undang-undang lain bagi memastikan ia memenuhi kehendak semasa.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata, beliau yakin pengumuman Najib itu dibuat dalam keadaan BN sangat terdesak untuk menarik sokongan rakyat berdepan Pilihan Raya Umum ke-13.

Apatah lagi ujarnya, ucapan Najib tersebut tidak memberi fokus kepada kemerdekaan negara, malah lebih kepada janji perubahan politik mendepani pilihan raya.

"Realitinya Najib dalam keadaan terdesak untuk meraih undi dalam PRU-13 sehingga beliau berani merombak apa yang sebelum ini dipertahankan sungguh-sungguh," kata Tuan Ibrahim lagi.

Jika benar Najib Ikhlas melakukan perubahan politik katanya lagi, perdana menteri itu perlu juga memastikan sistem pilihan raya negara ini diperbaiki termasuk lapan perkara yang terkandung dalam tuntutan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih).

Sementara itu, beliau juga turut membidas sikap Najib dan Umno BN yang sehingga kini masih berdiam diri dalam menyatakan pendirian berhubung kenyataan Majlis Prefesor Negara (MPN) bahawa Tanah Melayu tidak pernah dijajah, namun hanya dinaungi British.

"Rakyat masih menunggi pendirian rasmi kerajaan berhubung perkara itu," katanya.

Tiada ulasan: