Isnin, 5 September 2011

Misteri bau busuk terjawab

SINAR HARIAN


BATU CAVES – Misteri bau busuk dari takungan air berhampiran simpang masuk ke Jalan Batu Caves dari arah Rawang, Jalan Kuching di sini terjawab dengan penemuan mayat seorang lelaki.

Dalam kejadian lewat petang kelmarin, seorang saksi yang enggan dikenali berkata, ketika melalui kaki lima jalan berkenaan dia terlihat objek seakan kepala manusia yang tersembul keluar.

“Apabila didekati didapati ia mayat seorang lelaki. Tidak berapa lama kemudian pihak polis dihubungi datang, tetapi mayat tidak dapat dikeluarkan dengan mudah kerana petak takungan itu dilindungi penutup konkrit.

“Setelah penutup konkrit itu dibuka, pihak forensik berjaya mengeluarkan mayat berkenaan kira-kira 10 minit kemudian,” katanya.

Dalam pada itu, dia yang bekerja di sebuah bengkel kereta berhampiran berkata, sebelum ini ‘kolam’ tempat mayat berusia lingkungan 30-an itu ditemui tidak mengalami limpahan air.

Katanya, bagaimanapun beberapa hari sebelum mayat itu ditemui, dia yang sering melalui jalan berkenaan untuk ke tempat kerja berasa hairan petak itu dipenuhi air, manakala timbul bau terlalu busuk.

“Ketika mayat itu diangkat keluar sekitar jam 6.30 petang, dia tidak berpakaian, tetapi terdapat baju dan seluar pendek ditemui di tempat kejadian.

“Kulit mayat terutama di muka dan badan sudah tertanggal, agak mengerikan kerana sudah reput,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPPD) Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah ketika dihubungi berkata, polis sedang membuat siasatan lanjut dan mengesahkan pakaian mangsa ditemui di tempat kejadian.

Katanya, mangsa dipercayai berbangsa India atau Myanmar itu ditemui tanpa identiti dalam tangki air di tepi jalan susur masuk ke Medan Batu Caves.

“Hasil siasatan dipercayai mayat berada lebih kurang lima hari dalam air berdasarkan keadaannya yang telah kembung. Tiada kecederaan berunsur jenayah.

“Siasatan ini dibantu oleh forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor. Kes buat masa ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” katanya.

Terdahulu kejadian turut menyebabkan kesesakan lalu lintas sepanjang lebih satu kilometer, apabila pengguna jalan raya dari arah Rawang ke Kuala Lumpur memperlahankan kenderaan untuk melihat ke tempat kejadian.

1 ulasan:

herba & tumbuhan berkata...

Salam Adilfitri... Jalan jalan mencari Ilmu