Keputusan memansuhkannya adalah sebagai sebahagian dari proses transformasi negara.
KUCHING: Pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960 adalah demi kepentingan rakyat serta negara dan bukannya sebab desakan pembangkang yang dilihat sengaja mengambil kesempatan untuk mendapat ‘kredit’ buat mereka.
Menteri Perancangan dan Pengurusan Sumber II, Datuk Amar Haji Awang Tengah Ali Hassan berkata, pihak pembangkang tidak seharusnya mengambil kesempatan di atas pengumuman tersebut semata-mata kerana mereka pernah menuntut pemansuhan akta berkenaan.
Beliau berkata, keputusan memansuhkannya adalah sebagai sebahagian dari proses transformasi negara dan sebelum ini, perdana menteri pernah berjanji untuk mengkaji rasionalnya akta itu pada zaman ini.
“Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengambil keputusan memansuhkannya sebagai sebahagian daripada proses transformasi negara seperti yang dijanjikannya semasa dilantik menjadi pemimpin negara dua tahun lalu.
“Tetapi pihak pembangkang segaja mendakwa kononnya keputusan ini dibuat sebab desakan mereka semata-mata kerana mahu mendapatkan ‘kredit’. Namun rakyat mengetahui kajian akta berkenaan telah dibuat sejak zaman Pak Lah lagi,” katanya.
Tengah yang ditemani Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri, Haji Mohd Naroden Majais berkata demikian ketika ditemui selepas meninjau persiapan majlis raptai istiadat perbarisan dan rapat raksasa sempena sambutan Hari Jadi Ke-90 TYT di Padang Merdeka di sini.
“Ia membuktikan keikhlasannya. Beliau melakukannya (memansuhkan akta) demi rakyat dan bukannya untuk pembangkang,” katanya
mengulas kenyataan Najib supaya tiada pihak cuba meraih keuntungan politik daripada pengumuman mengenai pemansuhan ISA dan Ordinan Darurat 1969 yang dibuatnya pada 15 September lalu.
Sementara itu, 90 buah kontinjen akan mengambil bahagian dalam perbarisan istiadat sempena meraikan Hari Jadi Ke-90, Yang di-
Pertua Negeri, Tun Datuk Patinggi Abang Haji Muhammad Salahuddin pada 24 September ini.
Biarpun tempoh latihan sempena majlis berkenaan agak singkat berikutan terdapat beberapa program rasmi lain seperti sambutan hari raya dan Hari Malaysia, Tengah yakin semua peserta memberikan komitmen terbaik bagi melancarkan perjalanan majlis bermakna itu.
Beberapa jalan utama di bandar raya ini termasuk Jalan Mc Dougall dan laluan pejalan kaki sepanjang Jalan Tun Abang Haji Openg berhadapan Gereja St. Thomas dan Hotel Merdeka Palace akan ditutup sehingga 24 September ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan