Ahad, 11 September 2011

Konvensyen Pakatan Sabah 16 September

Oleh: Masdar Wahid



SABAH: Pakatan Rakyat Sabah sudah bersedia menjadi kerajaan, dengan komitmen untuk mengadakan konvensyen pada 16 September ini, kata Setiausaha Majlis Pimpinan KEADILAN negeri, Dr Roland Shia Ming Shen.

“Pada konvensyen itu, kami akan melancar Buku Jingga versi Sabah, iaitu suatu dasar yang kami sudah bincang dan bahaskan sesama KEADILAN, PAs dan DAP.

“Dasar-dasar ini adalah tawaran kami untuk rakyat Sabah yang memiliki kuasa mutlak menentukan kerajaan baru di negeri ini pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang,” katanya kepada Keadilandaily.

Konvensyen yang berlangsung di Kota Kinabalu Star City itu merupakan susulan penubuhan Sekretariat Pakatan Rakyat Sabah yang dilancar pada 15 September 2010.

Konvensyen kali ini bakal dihadiri Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu, Penasihat DAP Kebangsaan, Lim Kit Siang serta pimpinan dan anggota gabungan itu dari seluruh Sabah.

Difahamkan, setiap komponen Pakatan di negeri itu sudah memutuskan menghantar 1,500 anggota ke konvensyen itu.

Turut mengesah kehadiran, beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) peringkat Sabah, Sarawak dan dari semenanjung Malaysia.

Sehubungan itu, kata Roland, sekretariat mengalu-alu rakyat Sabah hadir beramai-ramai ke konvensyen itu bagi mendapatkan penjelasan secara langsung mengenai dasar Pakatan Rakyat.

“Seperti kita sedia maklum, pentadbiran Datuk Seri Najib Razak kekal menafi hak kita untuk memperjelas dasar-dasar Pakatan di media arus perdana.

“Oleh itu, rakyat Sabah harus memanfaat peluang ini untuk bertanyakan apa-apa perkara yang tidak jelas, khasnya mengenai agenda Buku Jingga versi Sabah,” katanya.

Keterangan lanjut mengenai konvensyen, berhubung terus dengan James Stephen di talian 019-851 0280 dan Dewi Puspa di nombor 017-863 9707.

Tiada ulasan: