Saya mengucap terima kasih kepada Sinar Harian atas liputan yang begitu luas yang diberikan kepada saya, khususnya dalam keluaran 12 September lalu. Saya mendapati satu muka telah dipenuhi dengan pelbagai teguran dan serangan terhadap diri saya dari ADUN Sementa YB Rahman Palil, Ungku Salleh Ungku Jamal Ketua Pemuda UMNO Selangor dan beberapa individu lain. Saya sebenarnya turut menunggu untuk wartawan Sinar Harian menghubungi untuk mendapatkan respon dari pihak saya, tetapi malangnya tiada panggilan diterima. Nampak gaya Sinar Harian berpuas hati dengan sekadar menyiarkan serangan mereka tanpa sebarang peluang untuk saya menjawab.
Begitu juga dengan berita pada Khamis 8 September apabila Dr Yusri Mohamad, Pengerusi PEMBELA telah menyatakan berita berhubung usaha ingin menjatuhkan MB Selangor adalah ‘satu pembohongan’. Mereka juga tidak bertanya akan respon saya terhadap tuduhan Dr Yusri. Jelas bagi saya sebenarnya pertemuan yang disebut oleh Dr Yusri adalah pertemuan lain yang diadakan di Masjid Negeri dan bukan pertemuan yang saya maksudkan. Maka ini telah menimbulkan persoalan lanjut, berapa pertemuan sebenarnya yang telah diadakan?
Teringat saya akan satu akhbar yang bernama ‘WATAN’ pada satu ketika dahulu. Ianya akhbar yang begitu digemari peminat politik atas sebab kritisnya tulisan-tulisan yang disiarkan dalamnya. Semua dikritik, lebih lebih lagi kerajaan Barisan Nasional. Malangnya apabila musim Pilihan Raya tiba, parti dan pemimpin pembangkang menjadi sasarannya. WATAN juga dikeluarkan oleh pihak Karangkraf sepertimana Sinar Harian.
Apa yang saya khuatir ialah akhbar Sinar Harian juga akan mengikuti jalan yang sama. Ianya semakin popular kerana memberi liputan ke atas kegiatan semua pihak dan dilihat ‘adil’. Namun adalah dikhuatiri dengan menjelangnya Pilihan Raya, beritanya kelihatan semakin berat sebelah. Maka adalah wajar untuk rakyat dan penyokong PR khususnya berwaspada supaya tidak tertipu dengan berita yang kononnya ‘adil’ itu. Apakah pisang akan berbuah untuk kali yang kedua?
Oleh yang demikian, saya akan menjawab teguran dan serangan Rahman Palil dan Ungku Salleh di sini, melalui blog saya dan jawapan ini juga akan dihantar ke Sinar Harian. Saya ingin melihat samada ianya akan disiarkan oleh pihak mereka.
ENAKMEN JAIS
Rahman Palil kata saya “degil” dan “tidak layak menjadi ahli Parlimen kerana tidak tahu baca enakmen itu”. Saya tidak faham macam mana dia boleh menjadi seorang ADUN. Tidakkah dia tahu bahawa seseorang itu dianggap tidak bersalah sehingga terbukti bersalah.
Mungkin dia tidak sedar tetapi dia telah menjatuhkan hukuman terhadap saya tanpa menunggu saya dibicarakan. Kalau ikut fahaman mereka, mungkin mahkamah tidak diperlukan, terus jatuhkan hukuman tanpa mendengar penjelasan dari saya.
Hakikatnya bagi saya, saya tidak melanggar undang-undang yang terkandung di dalam enakmen berkenaan. Enakmen itu menyebut :-
“119. (1) Mana-mana orang yang mengajar agama Islam atau perkara-perkara tentang Agama Islam tanpa tauliah yang diberikan di bawah seksyen 118 adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi tiga ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.
(2) Subseksyen (1) tidaklah terpakai bagi –
a) mana mana orang atau golongan orang yang dikecualikan oleh Majlis di bawah seksyen 121 enakmen ini; atau
b) mana mana orang yang mengajar agama Islam atau perkara-perkara tentang Agama Islam di dalam kediamannya sendiri kepada anggota keluarganya sahaja.”
Sesiapa yang pernah ke sekolah boleh membezakan bahawa saya tidak ‘mengajar’, saya hanya memberi ucapan. Kita tidak boleh memborongkan setiap ucapan yang mengandungi rujukan terhadap agama Islam sebagai ‘mengajar’. Sekiranya kita memborongkan sebegitu rupa, setiap orang yang memberi ucapan “Selamat berpuasa, semoga mencapai ketaqwaan” dan “Selamat Hari Raya, semoga bertemu Syawal dalam keadaan fitrah, bersih dari dosa sepertimana pada hari kita dilahirkan” boleh didakwa di atas kesalahan ini.
Ia adalah jelas sepertimana dalam kes Dr. Asri, enakmen ini tidak terhad penggunaannya kepada kegiatan di Masjid ataupun Surau. Dr Asri ditahan di rumah salah seorang dari anak murid beliau. Oleh itu enakmen ini boleh meliputi setiap tempat di bumi Selangor dan oleh itu tafsiran terhadap perkataan ‘mengajar’ itu perlu khusus, jelas dan tepat. Sekiranya tidak, ianya akan menghasilkan satu tafsiran yang menghalang percakapan berhubung agama Islam di mana-mana sehingga Islam menjadi sesuatu yang tidak boleh disebut oleh mana-mana pihak kecuali yang bertauliah. Mereka yang mengadakan tahlil dan doa selamat pun boleh dikenakan tindakan kerana ia merupakan sesuatu yang melibatkan “perkara-perkara tentang agama Islam”.
Islam dijadikan sesuatu yang tidak boleh disebut oleh rakyat biasa kecuali di rumah mereka dan hanya kepada anggota keluarga. Maka ummat Islam di Malaysia terpaksa menjadi bagaikan ummat Islam di Sepanyol pada zaman ‘Spanish Inquisition’, terpaksa menyembunyikan Islam mereka dan tidak bercakap mengenainya kecuali kepada keluarga mereka secara rahsia di rumah-rumah mereka.
Mungkin ini yang diinginkan UMNO/BN, tetapi ini tidak diinginkan oleh PAS dan PR.
UCAPAN DI MASJID
Saya sebenarynya pun agak hairan. Saya berucap di 3 Surau/Masjid setiap malam di Shah Alam sepanjang Ramadan tetapi tiada apa-apa tindakan yang dikenakan terhadap saya. Tetapi apabila saya berucap di Sementa, kawasan jajahan Dato Rahman Palil, saya dikenakan tindakan oleh JAIS.
Saya sedar Dato Rahman Palil adalah bekas Exco Agama kerajaan korup BN dahulu. Hubungan beliau dengan anggota penguatkuasa masih rapat dan tidak mustahil tindakan pendakwaan ‘diarahkan’ oleh beliau. Adakah ini juga merupakan talian sulit UMNO dan penguatkuasa JAIS?
Rahman Palil juga menyatakan bahawa semasa BN memerintah dahulu, ahli-ahli UMNO tidak ‘dibenarkan’ berceramah di Masjid. Hakikatnya hubungan UMNO dengan Masjid memang dari dulu lagi tidak rapat. Ada yang mengatakan UMNO, khususnya Pemuda, lebih erat hubungannya dengan karaoke dan dangdut. Saifuddin Nasution sehingga menceritakan bagaimana pemimpin Pemuda UMNO tertidur di mesin judi semasa lawatan mereka ke sebuah Pusat Perjudian di luar Negara. Itulah sebabnya perkara-perkara yang pelik sering dilakukan oleh pimpinan UMNO seperti:
a) Ucapan Selamat Menyambut Hari Raya Qurban pada 17 Zulhijjah b) Sembahyang Solat Hajat selepas solat Asr dan Solat Subuh c) Takbir raya pada hari raya Eidul Fitri yang ketiga. d) Penglibatan dalam majlis memasang ‘ancak’ dan yang lain-lain.
PAS sebaliknya dari dulu lagi bergerak dengan menjalinkan hubungan yang rapat dengan pihak Masjid dan Surau. Samada PAS memerintah atau tidak, Masjid dan Surau merupakan tempat yang pimpinan PAS berlegar di sekelilingnya.
Rakyat perlu ingat. Dato Rahman Palil dahulu sebagai Exco Agama kerap mengarahkan penangkapan par ustadz dan penguncian surau seperti yang pernah berlaku di Seksyen 8, Shah Alam. Beliau menang di Sementa pada 2008 tanpa bertanding apabila calon PR tidak muncul dikhabarkan ‘dibeli’ dan bercuti di Port Dickson pada hari penamaan calon! Kita yakin ‘orang Agama’ seperti Dato Rahman Palil tidak terlibat dalam tindakan ‘merasuah calon lawan’ tetapi rakyat terus bertanya akan peristiwa ‘ketidak munculan’ calon PR dan siapa pula yang ‘membelinya’.
Sebagai pemimpin di Sementa kita yakin beliau semestinya telah mendapat sokongan rakyat tempatan dan tidak perlu menghina diri dengan terlibat dengan tindakan keji dan jelek seperti membeli calon lawan. Ianya satu tindakan terkutuk dan sekiranya seseorang ahli politik terlibat dengan amalan sedemikian, rakyat wajib menghukumnya dengan menolak tindakan sebegitu rupa.
HORMATI UNDANG-UNDANG
Ketua Pemuda UMNO Selangor Ungku Salleh Ungku Jamal pula menuduh saya sebagai seorang yang mempunyai sikap semula jadi tidak suka menghormati undang-undang. Dengar cakap beliau seolah-olah saya ini kenalan lama beliau sehingga boleh beliau menceritakan ‘sifat semula jadi’ saya. Maaf Ungku, saya tak kenal Ungku! Tetapi dari kata-kata Ungku amat jelas Ungku jenis orang yang suka menuduh tanpa adanya bukti.
Saya ingin tahu undang-undang mana yang telah saya secara semula jadi tidak hormat dan langgar? Mahkamah mana dan berapa kali dalam hayat saya telah saya didapati bersalah melanggar undang-undang ‘secara semula jadi’? Bila dan berapa tahun saya dipenjarakan atas kesalahan melanggar undang-undang?
Hakikatnya Ungku hanya sedap bercakap. Saya insyaAllah sangat menghormati undang-undang, lebih-lebih lagi undang-undang Allah dan berusaha mematuhinya. Saya tidak juga secara ‘semula jadi’ melanggar undang-undang manusia lebih-lebih lagi sekiranya ia tidak bercanggah dengan undang-undang Allah.
Berhubung ucapan saya di sebuah Surau di Sementa, saya tidak ‘mengajar’ agama Islam tanpa tauliah. Saya hanya menceritakan pengalaman saya semasa di Gaza, penyerahan sumbangan yang berjumlah RM 650,000 sebahagian kepada NGO yang diiktiraf kerajaan Palestine dan sebahagian lain kepada fakir miskin di sana. Saya juga, sempena bulan Ramadhan, menyampaikan ucapan ‘Ramadan Kareem’ bagi pihak Ismail Haniyya, Presiden Palestine sepertimana yang beliau telah berpesan kepada saya semasa kami bertemu dan saya sampaikan juga ucapan Selamat Menyambut Bulan Ramadan kepada ahli Qariah yang hadir. Sambil itu, saya mengingatkan diri saya dan juga yang hadir supaya bertindak adil sepanjang masa kerana keadilan adalah lebih rapat dengan sifat keTaqwaan.
Namun ucapan-ucapan yang seperti itu memang tidak disenangi pihak UMNO kerana mungkin bagi mereka Islam tidak ada kena mengena dengan sifat keadilan terhadap manusia lain.
KESIMPULAN
Ada yang mengatakan saya sebagai Ahli Parlimen Shah Alam tidak sepatutnya memusuhi MAIS dan JAIS. Hakikatnya, saya tidak memusuhi MAIS atau JAIS. Saya hanya menentang usaha menodai MAIS dan JAIS oleh pemimpin UMNO. Mereka ingin menghalang pemimpin PR mendampingi masyarakat Melayu. Salah satu saluran yang amat berkesan ialah Masjid dan Surau. Saluran inilah yang ingin ditutup dengan memutarbelitkan tafsiran undang-undang dan mengapi-apikan semangat anti PR di kalangan masyarakat Melayu dan Islam.
|
Tiada ulasan:
Catat Ulasan