Isnin, 19 September 2011

Kes Aminulrashid, Koperal Jenail failkan rayuan

FREE MALAYSIA TODAY

Peguam Salim Bashir dan Halim Ashgar Mohd Hilmi yang mewakili tertuduh memfailkan rayuan di pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi di sini tengah hari tadi



SHAH ALAM: Koperal Jenain Subi, anggota polis yang dijatuhi hukuman penjara lima tahun selepas didapati bersalah menyebabkan kematian remaja lelaki berumur 15 tahun, Aminulrasyid Amzah pada April tahun lepas, hari ini memfailkan rayuan terhadap sabitan dan hukuman itu.

Peguam Salim Bashir dan Halim Ashgar Mohd Hilmi yang mewakili tertuduh memfailkan rayuan di pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi di sini tengah hari tadi.

Jenain yang turut hadir ketika ditemui pemberita kemudiannya berkata rayuan difailkan kerana beliau tidak berpuas hati dengan keputusan mahkamah dan ingin membersihkan namanya.

Pada Khamis lepas, Mahkamah Sesyen di sini menjatuhkan hukuman penjara lima tahun selepas mendapati Jenain, 49, yang bertugas di Unit Kereta Peronda, Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, bersalah menyebabkan kematian Aminulrasyid antara 1.10 pagi dan 2 pagi, 26 April 2010 di Jalan Tarian 11/2, Seksyen 11 di sini.

Pertuduhan mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan boleh dikenakan denda. Aminulrasyid disahkan meninggal dunia akibat luka tembakan di kepala.

Hakim Latifah Mohd Tahar bagaimanapun membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman sementara menunggu proses rayuan di Mahkamah Tinggi dan mengekalkan wang jaminan ke atas Jenain iaitu RM10,000, lapor Bernama.

Tiada ulasan: