Rabu, 14 September 2011

Kerajaan perlu tubuh panel khas kaji sejarah

Muhammad Faizal


KUALA LUMPUR: Kekalutan dengan pelbagai andaian mahupun pendapat sendiri mengenai sejarah negara ini perlu dirungkai semula agar satu jalan penyelesaian diperolehi bagi memuktamadkan kedudukannya sebelum mencapai kemerdekaan.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar menyuarakan pendapat dalam mencari satu usaha penyelesaian kerajaan perlu mewujudkan satu Panel Jawatankuasa Khas bagi membincangkan kembali sejarah negara.

"Kenyataan yang dikeluarkan oleh Majlis Profesor Negara (MPN), Datuk Zainal Kling itu perlu dirungkai kembali dan saya tidak mengatakan ia benar tetapi setiap kenyataan yang dikeluarkan oleh setiap pihak perlu diambil perhatian dan kita sendiri tidak pasti mungkin kenyataan yang diutarakan oleh Zainal itu menpunyai fakta yang selama ini kita tidak ketahui.

"Jalan yang terbaik untuk jalan penyelesaiannya ialah kerajaan perlu menubuhkan satu Panel Jawatankuasa Khas yang akan mengkaji balik sejarah negara ini dengan membuat rujukan yang mana kita tahu sejarah negara ini ditulis berasaskan dari barat belum pasti kesahihannya. Maka kita melihat ada permasalahan dalam sejarah negara ini dan ia perlu dilihat kembali.

"Panel ini perlu melihat dari semua sudut dan pandangan dari pelbagai pihak sama ada politik, ahli akademik mahupun sejarawan malah ia juga boleh disertai oleh MPN seperti Profesor Datuk Dr Zainal Kling dan Prof Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim begitu juga Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu yang mempunyai pendapatnya sendiri," jelasnya

Tambah Mahfuz lagi, panel ini perlu ditubuhkan dengan segera kerana untuk membuat kajian semual ia memerlukan masa yang agak lama tetapi penjelasan perlu dipercepatkan agar kekeliru yang berlaku sekarang dapat diatasi.

"Walau masa perlu diberikan oleh panel tersebut tetapi penjelasan perlu dipercepatkan kerana kita tidak mahu kekeliruan tentang sejarah ini menjadi semakin kusut.

"Saya bersetuju dengan langkah yang diambil oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohd Khalid Nordin dalam isu ini yang mahukan subjek sejarah di peringkat sekolah dikaji semula setelah didapati beberapa fakta sebelum ini tidak lengkap dan bercanggah dengan fakta yang hasil kajian ahli falsafah dan teologi negara, Tan Sri Prof Syed Muhammad Naquib Al-Attas dalam buku terbarunya 'Historical Fact and Fiction'.

"Syed Naquid mempersoalkan mungkin terdapat beberapa sejarah penting tidak dicatit sebelum pemerintahan Melaka dan kemungkinan beberapa fakta juga berat sebelah.

"Seperti juga kenyataan khalid yang meminta kajian semula kedatangan Islam ini tidak dimasukkan dan apa yang berlaku umpama mengelapkan sejarah kedatangan Islam dan apatah lagi sejarah negara kita. Bagi memulihkan kembali fakta sejarah maka kajian semula perlu dilakukan dan kerajaan perlu bertindak segera," katanya lagi.

Isu kemerdekaan dan sejarah negara muncul apabila kenyataan Majlis Profesor Negara (MPN) bahawa negara ini tidak pernah dijajah British serta diikuti beberapa kenyataan yang dikeluarkan pakar sejarah dan terbaru bekas perdana menteri,Tun Dr Mahathir Mohamad yang mengakui bahawa Malaysia tidak pernah dijajah tetapi menegaskan, penasihat-penasihat mereka telah bertindak seolah-olah pihak itu adalah pemerintah yang sebenar berbanding Raja-raja Melayu.

Tiada ulasan: