Sabtu, 17 September 2011

KDN, Peguam Negara temu kemaskan undang-undang baru

THE MALAYSIAN INSIDER


Mahmood (kanan) bertemu dengan wakil-wakil kedutaan asing di Kementerian Dalam Negeri, 11 Januari 2010. — Foto fail


KUALA LUMPUR — Kementerian Dalam Negeri akan mengadakan pertemuan dengan pejabat Peguam Negara dalam tempoh terdekat bagi memperkemaskan semua aspek mengenai pindaan dan cadangan undang-undang baru.

Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Tan Sri Mahmood Adam berkata perbincangan itu membabitkan cadangan pemansuhan dan penggantian Rang Undang-undang Pencegahan dan pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 dan Akta Buang Negeri 1959.

Kedua-dua pihak itu juga akan membincangkan mengenai cadangan mekanisme penambahbaikan membabitkan aktiviti perhimpunan di tempat awam berdasarkan peruntukan di bawah Seksyen 27 Akta Polis 1967.

Dalam satu kenyataan hari ini, Mahmood berkata, pertemuan itu turut akan membincangkan peranan pasukan Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) yang diasaskan pada 11 Januari 1972 di atas penguatkuasaan Akta (Kuasa-kuasa Perlu) Darurat 1964.

Selain itu, kata Mahmood, Kementerian Dalam Negeri akan mengusulkan kepada Peguam Negara senarai semakan untuk penelitian membabitkan perincian peruntukan undang-undang di bawah Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan bagi membolehkan peranan Rela terus kekal relevan dan digubal semula sebagai Akta Parlimen dan diletakkan sebagai undang-undang di bawah Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan.

Dipetik Bernama Online, Mahmood berkata, Kementerian Dalam Negeri juga akan mendapatkan pandangan Peguam Negara berhubung kajian pindaan membabitkan cadangan menghapuskan prinsip pembaharuan lesen cetak tahunan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 dan digantikan dengan pengeluaran permit penerbitan dan lesen cetak sehingga dibatalkan.

“Bagaimanapun, sehingga kajian itu selesai dan pengumuman mengenainya dibuat, segala prosedur permohonan dan kelulusan lesen dan permit akan kekal sebagaimana proses sedia ada,” katanya.

Beliau menjelaskan pertemuan dengan Peguam Negara dibuat susulan kenyataan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein semalam bahawa rang undang-undang baru baru perlu dibentangkan pada sidang Parlimen dalam tempoh terdekat selepas kajian menyeluruh dan pandangan semua pihak diambil kira.

Kelmarin, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam perutusan khas Hari Malaysia sempena sambutan Hari Malaysia 2011 mengumumkan pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri dan Akta Buang Negeri 1959 serta mengkaji semula Akta Kediaman Terhad 1933, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 serta Seksyen 27 Akta Polis 1967 yang mengambil kira Perkara 10 Perlembagaan.

Mahmood berkata dalam perbincangan itu kelak, pihaknya akan membantu Peguam Negara memperhalusi segala gerak kerja yang berkaitan bagi memastikan cadangan lengkap dan komprehensif dapat dibentangkan untuk dipertimbangkan pada sidang Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

“Bagaimanapun, berhubung bila ia akan dibentangkan kepada Parlimen, keputusan itu adalah tertakluk kepada hasil perbincangan Kementerian Dalam Negeri dengan Peguam Negara dan keputusan kerajaan,” katanya.

Mengenai isu media supaya selari dengan hasrat kerajaan untuk mengamalkan dasar lebih telus dan terbuka, beliau berkata Kementerian Dalam Negeri akan meneruskan pelbagai langkah proaktif untuk menyokong pertumbuhan sihat aktiviti media di negara ini.

Beliau berkata antaranya ialah inisiatif penubuhan satu jawatankuasa khas di kalangan pengamal media utama, yang diadakan kelmarin, yang berfungsi sebagai sebuah forum bertanggungjawab menentukan sendiri hala tuju amalan media di kalangan mereka.

Tiada ulasan: