Khamis, 8 September 2011

KAMI BELUM TERIMA INSENTIF TANGKAPAN IKAN!

SABAH KINI


NELAYAN di Tawau mengadu belum menerima insentif tangkapan ikan mereka sejak tiga bulan lalu dan tertanya-tanya sama ada masih wujud atau tidak.

Beberapa nelayan yang ditemui berkata setiap bulan sejak Julai mereka berulang kali ke bank untuk memeriksa akaun masing-masing namun hanya kembali dengan tangan kosong.

"Saya sudah sembilan kali ke bank untuk memeriksa akaun sama ada insentif tangkapan sebanyak 10 sen bagi setiap satu kilogram ikan sudah dikreditkan ataupun belum ke dalam akaun saya.

"Bagaimanapun, insentif berkenaan belum juga ada. Kemudian saya merujuknya di pejabat Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia di sini dan cuma dimaklumkan bahawa tuntutan kami sudah dimajukan ke ibu pejabat," kata Sarsan Mariano, 60, seorang nelayan dari kawasan Batu Payong kepada Bernama.

Sarsan yang menjadi nelayan sejak kecil dan biasa menerima insentif tangkapan antara RM50 dan RM80 sebulan, berkata beliau hampir setiap hari ke pejabat LKIM untuk mengisytihar tangkapannya kerana itulah syarat baginya untuk membeli petrol bersubsidi.

Muib Usman, 55, nelayan dari Inderasabah, 40 kilometer dari bandar Tawau, berkata setiap 25 haribulan dia akan ke bank untuk memeriksa akuannya namun sejak tiga bulan lalu bayaran insentif itu belum ada.

"Sebelum ini, pembayaran insentif tangkapan ikan berjalan lancar dan saya biasanya menerima antara RM70 hingga RM90 sebulan. Walaupun jumlahnya kecil, tetapi ia membantu mengurangkan beban pembelian petrol saya," katanya.

Muib berkata beliau sepatutnya membuat pengisytiharan tangkapan dengan LKIM setiap hari untuk membolehkannya membeli petrol bersubsidi namun terpaksa mengurangkannya kepada tiga kali seminggu kerana tidak tahan dengan beban kos membeli minyak di kawasan bandar Tawau.

Nukman Aliyudin Hamzah, 37, juga nelayan dari Inderasabah, berkata syarat untuk membuat pengisytiharan tangkapan ikan di pejabat LKIM di bandar memang membebankan nelayan kerana ia melibatkan kos pengangkutan dan masa.

Katanya nelayan dari Inderasabah sebagai contoh perlu menanggung tambang bas pergi balik dari Tawau sebanyak RM14 atau RM20 untuk tambang teksi setiap kali membuat pengisytiharan tangkapan dan membeli petrol subsidi.

"Kos ini belum termasuk harga minyak subsidi yang dihadkan kepada 20 liter untuk setiap perahu pada harga RM1.25 seliter. Nelayan juga perlu membayar RM2 untuk setiap tong minyak petrol yang dibawa menaiki bas," katanya.

Anggota Lembaga Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Tawau, Jula Majurani, 37, berkata nelayan kerap bertanya kepadanya mengapa bayaran insentif tangkapan ikan itu lambat dibuat namun beliau tidak dapat menjelaskannya dengan tepat kerana ia di luar bidang kuasa PNK.

Jula berharap pengurusan LKIM dapat menjelaskan perkara itu kerana ramai nelayan tidak faham dengan perkembangan itu demi kebaikan agensi dan nelayan keseluruhannya.

Pengerusi PNK Tawau, Hasan Timbasal menganggarkan antara 20 dan 30 nelayan pantai di Tawau belum menerima bayaran insentif tangkapan berkenaan.

"Kita sedang berusaha mengatasi masalah ini dengan merujuknya kepada LKIM. Cuma saya juga ingin menjelaskan bahawa masalah ini kadang-kadang timbul disebabkan dokumen sokongan tuntutan yang tidak lengkap," katanya. (BERNAMA)

Tiada ulasan: