Terdapat beberapa perubahan besar dalam tugasan Kabinet negeri nanti yang memberi kesan kepada Sarawak dalam jangka panjang.
KUCHING: Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Haji Abdul Taib Mahmud dijangka mengumumkan barisan kabinet negeri yang baru pada minggu hadapan.
Bercakap selepas mempengerusikan Mesyuarat Kabinet di Wisma Bapa Malaysia hari ini, Taib memberitahu tiada perubahan drastik akan berlaku dengan barisan kabinet negeri sedia ada.
Bagaimanapun katanya, terdapat beberapa perubahan besar dalam tugasan Kabinet negeri nanti yang memberi kesan kepada Sarawak dalam jangka panjang.
“Saya akan melakukan pengumuman barisan baru kabinet negeri minggu hadapan…..selepas Ahad ini akan mengetahuinya,” katanya dengan ringkas.
Pada 18 April lalu, lapan menteri mengangkat sumpah sebagai ahli kabinet negeri yang baru selepas Barisan Nasional (BN) sekali lagi diberikan mandat membentuk kerajaan negeri.
Kesemua mereka yang dilantik mengangkat sumpah di hadapan Yang di-Pertua Negeri Tun Datuk Patinggi Abang Muhammad Salahuddin di Dewan Lapau Bangunan Dun baru di sini, kekal memegang portfolio lama selepas Pilihan Raya Sarawak Ke-10 pada 16 April lalu.
Bagaimanapun, Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Dr George Chan tidak dilantik semula berikutan kekalahan beliau di kerusi Dun Piasau.
Rombakan kabinet
Sementara itu, pada mesyuarat kabinet bulan lalu, Taib yang ditemui pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat itu menyatakan semua portfolio menteri kabinet sebelum ini masih dikekalkan.
Bagaimanapun katanya, ia hanya bersifat sementara sehingga rombakan kabinet dilakukan nanti.
Mengetuai upacara tersebut ialah Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu sebagai Timbalan Ketua Menteri yang juga merupakan Menteri Pemodenan Pertanian dan Menteri Pembangunan Luar Bandar.
Turut mengangkat sumpah, Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) Tan Sri Dr James Masing yang mengangkat sumpah sebagai Menteri Kemajuan Tanah diikuti Presiden Parti Progresif Demokratik Sarawak (SPDP) Tan Sri William Mawan Ikom yang juga Menteri Pembangunan Sosial dan Urbanisasi.
Selain itu, Menteri Perumahan dan Pembangunan Bandar Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg, Menteri Alam Sekitar dan Kesihatan Awam Dato Sri Wong Soon Koh, Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Perhubungan Dato Sri Michael Manyin, Menteri Perancangan dan Pengurusan Sumber Kedua Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan dan Menteri di Pejabat Ketua Menteri Datin Fatimah Abdullah turut mengangkat sumpah.
Manakala pada 4 Mei lalu, 12 daripada 18 Menteri Muda turut mengangkat sumpah di hadapan Yang di-Pertua Negeri dengan mereka turut mengekalkan portfolio lama sebelum Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-10 pada 16 April lalu.
Kesemua menteri muda yang mengangkat sumpah semalam juga merupakan penyandang yang berjaya mengekalkan kerusi masing-masing pada pilihan raya negeri lalu.
Barisan Menteri muda itu dianggotai Datuk Daud Abdul Rahman (Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri-Hal Ehwal Islam), John Sikie Tayai (Menteri Muda Daerah Luar Bandar), Mohd Naroden Majais (Menteri Muda Perancangan dan Pengurusan Sumber), Datuk Francis Harden (Menteri Muda Kemajuan Tanah), Sylvester Entri (Menteri Muda Bekalan Air), Datuk Lee Kim Shin (Menteri Muda Sukan), Abdul Wahab Aziz (Menteri Muda Perumahan), Mong Dagang (Menteri Muda Pelancongan), Datuk Peter Nansian (Menteri Muda Alam Sekitar), Dr Stephen Rundi (Menteri Muda Kesihatan Awam) dan Datuk Talib Zulpilip (Menteri Muda Pelancongan).
Manakala empat lagi menteri muda sebelum ini iaitu Menteri Muda Industri Makanan, Datuk David Teng; Tan Joo Phoi (Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri); Datuk Dr Soon Choon Teck (Menteri Muda Perumahan) dan Datuk Peter Nyarok (Menteri Muda Pertanian) tidak dilantik semula kerana tewas pada pilihan raya negeri April lalu.
Sementara Datuk Dr Abang Abdul Rauf Abang Zen (Menteri Muda Pembangunan Industri) dan Larry Sng (Menteri Muda Hal Ehwal Belia dan Latihan) tidak dicalonkan untuk mempertahankan kerusi masing-masing pada pilihan raya negeri yang sama.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan