Rabu, 14 September 2011

ISA: Jangan tertipu sandiwara Najib


KUALA LUMPUR - Seluruh rakyat negara ini diingatkan agar jangan tertipu dengan sandiwara Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana ia mempunyai muslihat lain di sebaliknya.

Sebaliknya, jika ISA dimansuhkan, rakyat tetap tidak boleh bersuara dengan bebas kerana pasti terdapat pula undang-undang lain yang akan dilaksanakan bagi menggantikannya.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, tindakan yang dilakukan oleh Perdana Menteri itu samalah seperti keputusan yang diambil oleh kerajaan untuk menangguhkan pembayaran caj cukai perkhidmatan 6% kad prabayar telefon mudah alih.

Menurut beliau, walaupun pembayaran caj cukai 6% itu ditangguhkan, tetapi Kerajaan BN telah menggantikannya dengan cukai lain iaitu cukai barangan yang akan dilaksanakan selepas Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 nanti.

Katanya, perlaksanaan cukai barangan selepas pilihanraya itu telah diumumkan oleh Perdana Menteri hari ini, iaitu hanya dua hari sahaja selepas keputusan penangguhan bayaran caj cukai 6% itu dibuat oleh kerajaan.

"Dengan itu sahaja orang ramai sudah boleh nampak permainan Umno BN. Walaupun dimansuhkan sesuatu akta atau cukai, pasti ada undang-undang lain atau cukai-cukai lain yang akan digantikannya," katanya ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.

Kelmarin, media tempatan melaporkan, Najib dalam kenyataannya membayangkan kemungkinan akan memansuhkan ISA kerana kajian dan perubahan melibatkan ISA dan akta lain yang berkaitan dengan ISA dilihat perlu bagi kesesuaian keadaan semasa dan kehendak rakyat.

“Kita akan buat kajian dan perubahan terhadap akta tersebut supaya lebih sesuai dengan keadaan semasa dan sesuai dengan kehendak rakyat,” kata Najib.

Sehari sebelum itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, pindaan ISA perlu dibentang di Dewan Rakyat bersama enam akta undang-undang pencegahan yang berkaitan dan kajian semula akta itu akan dilakukan oleh Kementerian Dalam Negeri dan Jabatan Peguam Negara dengan kerjasama Majlis Peguam.

Akta-akta berkenaan termasuk Akta Pencegahan Jenayah 1959 yang akan dikaji daripada aspek keberkesanan undang-undang dalam pencegahan jenayah; Seksyen 27 Akta Polis 1960 berkaitan perhimpunan awam yang tidak memerlukan permit; Akta Buang Negeri 1959 (Pindaan 1972) berkaitan sama ada undang-undang itu masih relevan.

Selain itu, Akta Kediaman Terhad 1933 berkaitan keberkesanan undang-undang dan perintah yang dikeluarkan dan Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985 dan Ordinan Darurat (Ketenteraman Awam dan Mencegah Jenayah) 1969 berkaitan tempoh tahanan, hak dan layanan terhadap tahanan, kuasa Menteri Dalam Negeri dan penahanan tanpa perbicaraan.

Hishammuddin juga berkata, akta itu sebenarnya sudah lama dalam penelitian kementeriannya dan Pejabat Peguam Negara dan cadangan sama ada akta berkenaan akan dipinda atau dimansuhkan sedang diambil kira.

Menurut Tuan Ibrahim, sebelum ini, Pakatan Rakyat seperti yang terdapat dalam Buku Jingga telah menegaskan akan memansuhkan ISA dan akta-akta zalim lain jika diberikan mandat memerintah negara pada PRU Ke-13 nanti.

Kini, keputusan Kerajaan BN untuk mengkaji dan memansuhkan ISA dan akta-akta itu sebenarnya adalah sebagai ikutan dari Buku Jingga, manakala keputusan itu pula dibuat sebagai lambang keadaan Umno BN yang amat tertekan sekarang.

"Kini kecenderungan rakyat negara ini telah beralih kepada Pakatan Rakyat. Untuk mendapatkan sokongan orang ramai, Umno BN terpaksa memansuhkan akta-akta itu untuk mengelaburi mata dan mengambil hati rakyat," katanya.

Malah dalam keadaan yang tertekan seperti sekarang, beliau yakin Umno BN pasti akan turut mengumumkan pelbagai insentif lain lagi kepada rakyat menjelang PRU Ke-13 bagi meraih sokongan daripada orang ramai.

"Tetapi rakyat sudah sekian lama tertipu. Rakyat yang sudah semakin sedar dengan permainan licik Umno BN pasti faham semua permainan mereka itu dan tidak mungkin akan terus tertipu lagi," ujar beliau.- Harakah Daily

Tiada ulasan: