Selasa, 27 September 2011

Hanya untuk kecemasan

SINAR HARIAN ONLINE


IJOK – Simpanan tetap Kerajaan Negeri yang bernilai RM1.1 bilion bagi enam bulan pertama tahun ini hanya boleh digunakan dalam keadaan terdesak dan bukannya digunakan sesuka hati.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, jumlah sebanyak itu bukanlah dalam bentuk wang tunai tetapi simpanan tetap seperti aset dan pelaburan.

“Ia tidak boleh dibelanjakan dengan tidak menentu sebab ini adalah rizab negeri. Maknanya hanya dalam keadaan terdesak ia boleh digunakan, kalau tidak memang tidak boleh.

“Simpanan ini diuruskan oleh pengurus dana (pihak yang menguruskan simpanan tetap) supaya ia mendapat pulangan yang baik bukan maknanya dalam bentuk tunai sebab tidak ada pulangan, tetapi dalam bentuk simpanan tetap,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Karnival Nanyang Siang Pau Kampung Ijok di sini, semalam.

Sementara itu, beliau menafikan persepsi negatif sesetengah pihak yang mendakwa Kerajaan Negeri gagal membangunkan dan memajukan Selangor walaupun mempunyai kewangan yang kukuh.

Abdul Khalid berkata, pembangunan adalah tanggungjawab dan tugas Kerajaan Pusat kerana cukai yang dibayar oleh rakyat Selangor melebihi RM20 bilion.

“Kerajaan Negeri menggunakan wang pendapatan itu seperti dalam belanjawan kita (Bajet Selangor) ialah lebih 50 peratus untuk operasi seperti membayar gaji kakitangan, baik pulih kediaman, rumah ibadat, peruntukan sekolah dan sebagainya.

“Tetapi lebih pada itu, kita gunakan untuk bina ataupun membaik pulih dan selenggara jalan milikan Kerajaan Negeri, bukan Kerajaan Persekutuan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau akan mengadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, Rabu depan bagi membincangkan perkembangan laporan pemeriksaan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) di Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC) awal Ogos lalu.

“Update hanya selepas Rabu sebab biasanya setiap pagi Rabu saya akan membincangkan perkara ini dengan Tuanku Sultan,” katanya.

Tiada ulasan: