Isnin, 12 September 2011

Hakim tolak permohonan pembelaan kes Sosilawati

MALAYSIA KINI


Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini menolak permohonan pihak pembelaan dalam kes bunuh jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain agar pendakwaan yang menuduh saksi utama kes itu, U Suresh, memberi keterangan palsu semasa perbicaraan, dikenakan tindakan menghina mahkamah.

Hakim Datuk Akhtar Tahir membuat keputusan itu selepas berpuas hati bahawa pihak pendakwaan berhak untuk mendakwa mana-mana individu dan tindakan mereka menuduh Suresh di Mahkamah Sesyen Shah Alam tidak menjurus kepada tindakan menghina mahkamah.

Beliau berkata, pihak Timbalan Pendakwa Raya sudah diberi kuasa penuh untuk memulakan prosiding jenayah dan mereka perlu menurut arahan Pendakwa Raya untuk menjalankan pendakwaan.

"Ini bukan salah mereka. Saya juga sudah teliti (pertuduhan di Mahkamah Sesyen) dan dapati tuduhan di mahkamah rendah (Mahkamah Sesyen) berkaitan dengan tuduhan jenayah serta tidak akan jejaskan keputusan saya. Saya akan buat keputusan atas kredibiliti saksi dan ia adalah dua perkara yang berlainan.

"Bagaimanapun saya dapati tuduhan di Mahkamah Sesyen adalah berkaitan kepada prosiding di Mahkamah Tinggi, justeru terdapat kemungkinan nota prosiding untuk kes di mahkamah ini (Mahkamah Tinggi) akan ditender dan ada kemungkinan ia akan mengganggu perjalanan kes di mahkamah ini," katanya.

Sehubungan itu, Akhtar mengarahkan agar prosiding kes di Mahkamah Sesyen tidak diteruskan sehingga perbicaraan kes di Mahkamah Tinggi selesai.

Beliau turut menangguhkan perbicaraan sehingga esok berikutan saksi pendakwaan yang sepatutnya memberi keterangan hari ini, bercuti sakit.

Pada 11 Ogos lalu, peguam Manjeet Singh Dhillon memohon tindakan menghina mahkamah dikenakan terhadap Timbalan Pendakwa Raya, Idham Abd Ghani dan Nur Azimul Azami Mohamad Nor, yang mengendalikan pendakwaan ke atas Suresh, 27.

Manjeet yang mewakili bekas peguam N Pathmanabhan, tertuduh pertama dalam kes bunuh itu, turut meminta tindakan sama dikenakan terhadap Timbalan Pendakwa Raya, Saiful Edris Zainuddin, yang berada di Mahkamah Sesyen semasa prosiding dakwaan ke atas Suresh berjalan.

Dalam permohonannya, Manjeet berkata pendakwaan ke atas Suresh tidak sepatutnya berlaku kerana perbicaraan kes itu masih berjalan dan Akhtar belum membuat keputusan mengenai kedudukan saksi berkenaan walaupun pendakwaan memohon untuk mencabar kebolehpercayaannya.

Permohonan itu disokong peguam Amer Hamzah Arshad, Gurbachan Singh dan Ravi Nekoo.

Pada 10 Ogos lalu, Suresh mengaku tidak bersalah memberi keterangan palsu pada perbicaraan kes Pendakwa Raya melawan Pathmanabhan, T Thilaiyalagan, R Matan dan R Khatavarayan di depan Hakim Akhtar, sedangkan keterangan yang diberikannya kepada pegawai perakam ASP Ong Seng Keong pada 26 Oktober 2010 di Penjara Sungai Udang, Melaka, adalah berbeza.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu antara 9.30 pagi hingga 12 tengah hari pada 25 dan 27 Julai lalu di Mahkamah Tinggi 8 di sini mengikut Seksyen 193 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara tujuh tahun dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Suresh adalah saksi ke-29 pendakwaan pada perbicaraan kes Pathmanabhan, 42, dan tiga pekerja ladang Thilaiyagan, 20, Matan, 21, serta Khatavarayan, 31, yang didakwa membunuh Sosilawati, 47, peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, pegawai bank Noorhisham Mohamad, 38, dan pemandu Sosilawati, Kamaruddin Shamsuddin, 44, di Lot 2001, Jalan Tanjong Layang, Tanjung Sepat, Banting, antara 8.30 malam dan 9.45 malam pada 30 Ogos 2010. - Bernama

Tiada ulasan: