Tindakan DAP mengedar risalah dan majalah Roket di empat buah masjid di sekitar bandaraya Kuching dikecam BN Sarawak.
KUCHING: Penyebaran risalah dan majalah Roket yang dilakukan DAP di empat buah masjid di bandaraya ini dilihat sebagai tindakan tidak beretika dan boleh menganggu-gugat keharmonian kaum.
Timbalan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Amar Abang Haji Johari Tun Openg berkata, masyarakat sepatutnya sedar dengan corak berpolitik pembangkang yang sanggup menggunakan masjid untuk melunaskan kepentingan politik mereka.
“Dalam berpolitik kita mempunyai etika yang perlu dipatuhi. Bagi saya ia bukan satu langkah bijak dan betul.
“Buat masa ini kita (Barisan Nasional) akan terus buat kerja kita (berkhidmat untuk rakyat),” katanya yang juga Menteri Perumahan dan Pembangunan Bandar.
Baru-baru ini, lima pemuda DAP termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Padungan Wong King Wei mengedarkan risalah dan majalah Roket di perkarangan empat masjid iaitu Masjid Bahagian Kuching, Masjid Jamek Kuching, Masjid Tabuan Jaya dan Masjid Matang Jaya.
Sementara itu, Ketua Pemuda PBB Datuk Haji Fadillah Yusof turut mengecam tindakan DAP yang dianggap sebagai tidak berasas kerana mengundang rasa kurang senang umat Islam yang menunai Solat Jumaat.
“Jangan guna masjid untuk edar risalah berunsur politik. Tempat ibadah sepatutnya digunakan untuk aktiviti keagamaan,” ujarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan