Sabtu, 24 September 2011

79 termasuk 22 wanita ditahan berjudi di Pulau Pinang


GEORGETOWN - Polis menahan 79 orang termasuk 22 wanita yang sedang berjudi di sebuah bangsal di Kampung Batak, Relau, di sini, awal pagi tadi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Barat Daya, DSP Lai Far Him, berkata serbuan dalam "Ops Dadu" itu dilakukan selepas pihak polis menjalankan intipan di kawasan berkenaan sejak minggu lalu.

"Serbuan dilakukan oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Daerah Barat Daya pada kira-kira jam 1 pagi tadi.

"Kesemua yang ditahan adalah penduduk tempatan yang berusia lingkungan 40 hingga 70 tahun," katanya.

Lai berkata, ketika serbuan dijalankan kesemua mereka sedang leka bermain judi yang melibatkan pertaruhan wang tunai.

"Semasa serbuan itu, terdapat juga beberapa orang suspek cuba melarikan diri, namun polis berjaya menahan mereka," katanya.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan lanjut, polis turut merampas wang pertaruhan berjumlah lebih RM1,538 termasuk pelbagai peralatan perjudian seperti cip, meja, kerusi dan kalkulator.

Lai berkata, kesemua suspek kini ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya dan didakwa di mahkamah hari ini.

Menurutnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan jika sabit kesalahan boleh didenda RM5,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya.

Dalam pada itu, katanya, polis akan meningkatkan operasi bagi membanteras kegiatan judi haram yang semakin berleluasa di daerah barat daya.- Berita Harian

Tiada ulasan: