Ahad, 22 November 2009

Kembara Jejak Amal Salur Bantuan Rumah Kebajikan di Selangor

MOHD SAHRULNIZAM MOHD ZAIN


Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis) berjaya menganjurkan kembara Jejak Amal ke beberapa rumah kebajikan di Selangor semalam.

Jejak Amal ini merupakan anjuran julung kali Pekawanis setelah 2 tahun penubuhannya sebagai satu pertubuhan memperjuangkan nasib rakyat termiskin di Selangor.

Program yang berkonsepkan “treasure hunt” ini bertujuan mengumpul dana membiayai Rumah-rumah Kebajikan dan Fakir Miskin terpilih serata Selangor.

Di samping itu, penglibatan gologan muda belia perlu diterapkan agar mereka sentiasa mengamalkan budaya hidup sihat melalui kerja-kerja amal sekaligus dapat beriadah di hujung minggu.

“Selain daripada mengetahui keadaan di Selangor, tapi dapat juga melawat rumah-rumah kebajikan yang mengingatkan mereka bahawa tanggungjawab sosial mereka juga diperlukan.

“Tujuannya ialah untuk pasukan-pasukan berkumpul bersama-sama mencari rumah-rumah kebajikan dalam usaha bagaimana kita boleh memberi serba sedikit sumbangan kita kepada rumah-rumah tersebut”, kata Tan Sri Khalid.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata demikian selepas menutup kembara Jejak Amal anjuran Kerajaan Negeri Selangor dan Pekawanis di Bangunan Annex, Shah Alam semalam.

Tan Sri Khalid menambah, pihak berkuasa tempatan boleh mencontohi usaha yang dilakukan Pekawanis dengan menggerakkan golongan belia di setiap zon kawasan mereka bagi membudayakan kerja amal.

Antara destinasi kembara Jejak Amal kali ini ialah Rumah Anak Yatim Sarakat Ilam, Taman Hijau, Rawang; Rumah Perlindungan Remaja Perkid, Batu 16 Hulu Langat; Yayasan Sunbin Home, Taman Mawar Cheras Baru; Pusat Rawatan Warga Emas Pulau Meranti, Puchong; Kelab Kecacatan Fizikal Klang, Jalan Kebun Klang dan Kampung Harmoni, Ijok, Kuala Selangor.

Kembara Jejak Amal kali ini dimenangi oleh Majlis Daerah Kuala Selangor dengan gelaran “Cow Boy” menerima hadiah pakej penginapan 3 hari 2 malam bernilai 2 ribu ringgit, piala dan sijil penghargaan.

Mereka adalah Azzrul Azzrin Jalaluddin, Mohd Fadzil Mohd Zahri, Muhammad Syafiq Kamaruzzaman dan Nurul Azmunir Ahmad.

“Pada mulanya kami pun tak sangka nak menyertai pertandingan ni, sebab pertandingan macam ni melibatkan satu mentaliti yang kuat, satu lagi daya pasukan yang kuat, jadi kami menyahut cabaran ini dengan positifnya”, kata Juara kembara Jejak Amal dari MDKS, Mohd Syafiq Kamaruzzaman.

“Rintangan memang banyak, tapi kami dapat tempuh semuanya, kami kerja pun berpasukan, dengan maklumat yang kami dapat pun secara berkongsi, semangat berpasukan yang buat kami menang”, jelas Mohd Fadzil Mohd Zahri.

Hadir sama Penanung Pekawanis, Datin Paduka Tengku Puteri Arafiah; Yang Dipertua Pekawanis, Puan Sri Salbiah Tunut dan Exco Selangor, Rodziah Ismail serta Ronnie Liu.

Tiada ulasan: