Jumaat, 27 November 2009

Dun Kota SiPuteh: Mengapa Sampai Terpaksa Merayu.

Oleh Ahmad Zawawi


Kerusi DUN N. 3 Kota Siputeh diistihar oleh Mahkamah sebagai Kosong pada 16 November 2009. ADUN terakhir ialah Datuk Abu Hassan Sarif dan beliau bukanlah orang baru sebagai ADUN. Tidak ada alasan untuk beliau tidak tahu adanya Peruntukan Undang-Undang mengenai kehadiran Ahli Dewan yang terkandung dalam Undang-Undang Tubuh Negeri Kedah. Beliau adalah seorang Penggubal Undang-Undang diDewan Undangan Negeri itu sendiri. Tambahan pula beliau mewakili sebuah Parti yang sangat ternama dan established.

Sebagai rakyat biasapun sekiranya menghadapi pendakwaan/pertuduhan diMahkamah kita sama sekali tidak boleh memberikan alasan tidak tahu Undang-Undang terhadap Kes yang didakwa. Setiap kita wajib mengambil tahu perkara yang bersangkut paut dengan Undang-Undang. Lagipun tidak ada sesiapapun Above The Law.

Begitu jugalah dalam Kes ADUN Kota Siputeh ini. Beliau sepatutnya akur kepada keputusan Mahkamah dan beri peluang kepada orang lain yang mampu memberi sepenuh komitmen terhadap tanggungjawab serta sentiasa bersedia memberikan perkhidmatan terbaik untuk masyarakatnya.

Memang betul ada avenue dimana beliau berhak mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah tersebut. Itu adalah hak mutlak peribadi beliau. Dimana pula keadilan untuk para pengundi? Mengapa mereka perlu menunggu satu tempoh yang ta` dapat dijangka untuk Kerusi tersebut berpenghuni kembali. Jika tidak ada sebarang rayuan sudah pasti selewat-lewatnya dalam tempoh 2 bulan sahaja penduduk Kota Siputeh akan menerima Y.B. baru.

Setiap yang merayu mempunyai alasan tersendiri. Ada yang mengatakan Pilihanraya Kecil jika diadakan akan merugikan rakyat juga kerana urusan mengendalikan satu-satu Pilihanraya itu memerlukan satu perbelanjaan yang sangat besar. Tidak dinafikan kebenaran kata-kata itu. Berbalik kepada peristiwa bagaimana boleh berlakunya kekosongan, bukankah ianya akibat dari sikap yang tidak bertanggungjawab seseorang. Apakah perbuatan ini tidak merugikan rakyat?

Amalan demokrasi sangat segar dalam negara ini. Setiap orang mempunyai hak dalam Undang-Undang dan ini termasuklah kelebihan untuk membuat rayuan hingga keperingkat paling Atas (Mahkamah Agong). Jika perkara-perkara kecil seperti wajib kehadiran ini dipatuhi masa-masa yang berharga dapat diselamatkan daripada ia dihabiskan semata-mata untuk naik turun Mahkamah.

http://ahmadzawawi.wordpress.com/

Tiada ulasan: