Isnin, 30 November 2009

Tarik Balik Permit Teksi Jika Enggan Keluarkan Resit Tambang - LPKP

BERNAMA


KOTA TINGGI: Mulai Januari ini, 31,000 pemandu teksi di seluruh negara yang tidak mengeluarkan resit tambang kepada penumpang akan dikenakan tindakan tegas oleh Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP).

Pengerusinya Datuk Halimah Mohamed Sadique berkata tindakan tersebut termasuk menarik balik permit teksi.

"Selama ini kami menerima banyak rungutan daripada orang ramai bahawa pemandu enggan menggunakan meter dan menetapkan kadar tambang sesuka hati," katanya di sini semalam.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan sumbangan daging korban sempena Hari Raya Aidiladha peringkat Parlimen Tenggara di Felda Sungai Sibol di sini.

Katanya, kerajaan pada Ogos lalu sudah menaikkan kadar tambang teksi maka tambang terlalu rendah tidak harus menjadi alasan untuk tidak mengeluarkan resit serta mengenakan tambang mengikut apa yang ditetapkan.

Setakat ini, 90 peratus daripada teksi di seluruh negara sudah menyelaraskan meter mereka dengan menggunakan meter baru yang boleh mengeluarkan resit.

LPKP menetapkan selewat-lewatnya 31 Disember ini bagi menyelaraskan meter untuk tambang baru dan mana-mana teksi yang gagal berbuat demikian tidak dibenarkan mengenakan kadar baru serta tidak boleh beroperasi.

Bagaimanapun, kelonggaran diberikan kepada 1,260 teksi di Pulau Pinang sehingga 30 Jun 2010 berikutan kos memasang pencetak tambang yang mahal sehingga mencecah RM350.

Tiada ulasan: